Isu tadbir urus TH selepas 2020 wajar dibawa ke PAC – Ahli Parlimen Tampin

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Isu pengurusan dan tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) selepas 2020 wajar turut diteliti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi melengkapkan penelitian terhadap institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan RCI perlu dipanjangkan sekurang-kurangnya sehingga 2025 bagi mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai pengurusan dan perkembangan TH.
  • Isu tadbir urus TH wajar dibawa ke PAC untuk penelitian lebih mendalam, khususnya bagi tempoh 2022 hingga 2026.
  • Sekiranya kelemahan sistem dikesan, penambahbaikan segera diperlukan untuk melindungi kepentingan pendeposit dan memulihkan keyakinan terhadap TH.

Menurut Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa cadangan itu penting memandangkan tempoh penelitian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hanya meliputi tempoh 2014 hingga 2020.

Sekali gus tidak merangkumi beberapa perkembangan penting berkaitan TH selepas tempoh berkenaan.

Menurutnya, tempoh siasatan sewajarnya dipanjangkan sekurang-kurangnya sehingga 2025 bagi mendapatkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai pengurusan dan perkembangan TH.

“Selaku ahli PAC, saya juga mencadangkan agar isu berkenaan pengurusan dan tadbir urus Tabung Haji turut dibawa ke PAC supaya dapat diteliti dengan lebih mendalam dan terperinci, terutama daripada tahun 2022 hingga 2026,” katanya ketika membahaskan RCI TH pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata sekiranya terdapat kelemahan yang berpunca daripada sistem, tindakan penambahbaikan perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kepentingan pendeposit serta kelangsungan TH terus terpelihara.

Katanya, penelitian yang menyeluruh juga penting bagi memastikan keyakinan pendeposit terhadap TH terus diperkukuh, selain membolehkan institusi itu melaksanakan mandatnya secara berkesan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan isu TH tidak seharusnya terus menjadi medan pertelingkahan politik yang berpanjangan.

Sebaliknya, katanya, semua pihak perlu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh TH supaya institusi berkenaan dapat terus memainkan peranan membantu umat Islam di negara ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.