
KOTA TINGGI, 11 Ogos – Seorang kanak-kanak berumur setahun empat bulan yang disahkan meninggal dunia pada 31 Julai lalu di sebuah kediaman di Taman Sri Saujana di sini dipercayai dibunuh.
- Bedah siasat pada 2 Ogos: punca kematian kecederaan tumpul pada abdomen dan dada, serta luka dan lebam di badan.
- Nenek tiri akan dituduh di Mahkamah Majistret pada Rabu atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
- Datuk dan ibu ditahan, kemudian dibebaskan dengan bon sebagai saksi; kertas siasatan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Johor.
Ia susulan laporan bedah siasat pada dua ogos lalu mendapati punca kematian disebabkan kecederaan tumpul pada abdomen dan dada, selain luka dan lebam di badan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata nenek tiri mangsa, beserta datuk dan ibu mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, datuk dan ibu mangsa dibebaskan dengan bon untuk dijadikan saksi pendakwaan.
Manakala nenek tiri mangsa akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana membunuh.
“Kertas siasatan telah dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Pengarah Pendakwaan Johor pada 10 Ogos.
“Arahan yang diberikan adalah tuduh nenek tiri mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Pada hari kejadian, nenek tiri mangsa dikatakan cuba mengejutkan mangsa daripada tidur.
Bagaimanapun mangsa tidak memberikan respon sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.
Kes awalnya diklasifikasikan mengikut Akta Kanak – Kanak 2001 sebelum diubah kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan susulan dapatan bedah siasat.