Kelemahan tadbir urus TH: Individu terlibat wajar dikenakan tindakan undang-undang

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul / Foto RTM

KOTA KINABALU, 11 Ogos – Kerajaan disaran mengambil tindakan undang-undang ke atas individu yang terbabit dengan kelemahan tadbir urus dalam Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020 selepas perkara itu didedahkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Ambil tindakan undang-undang terhadap individu terlibat untuk tunjukkan kesungguhan dan cegah pengulangan salah laku.
  • Perkukuh sistem tadbir urus, pengurusan risiko dan proses pelantikan berdasarkan penemuan laporan RCI.
  • Tindak lanjut siasatan dan proses perundangan perlu kerana laporan belum membuktikan kesalahan jenayah sepenuhnya.
  • Pelantikan dan ganjaran mesti berasaskan merit, kepakaran serta integriti untuk elak kepentingan luar dan campur tangan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Datuk Dr Ramzah Dambul berkata tindakan itu penting bagi menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu tersebut sekali gus mengelakkan salah laku sama berulang pada masa akan datang.

“Saya berharap usaha kita tertumpu kepada mencari penyelesaian yang terbaik. Selain memperbaiki sistem yang telah dikenal pasti mempunyai kelemahan ketara, kita juga mesti mengambil tindakan undang-undang ke atas individu terlibat.

“Kita perlu menghantar isyarat yang jelas supaya tiada pihak yang berani mengambil mudah isu ini. Ini membuktikan bahawa kita amat serius dan tidak berkompromi jika isu penyelewengan seperti ini tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui RTM di sini.

Beliau berkata siasatan dan proses perundangan lanjut diperlukan kerana Laporan RCI TH itu belum dapat membuktikan sepenuhnya bahawa kesalahan jenayah tersebut berlaku.

“Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah keputusan pelaburan berisiko, kelemahan pertimbangan dalam pemberian ganjaran serta pelantikan individu yang tidak mempunyai kepakaran,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Datuk Dr Ramzah memaklumkan Laporan RCI TH seharusnya menjadi asas untuk memperkukuh sistem tadbir urus, pengurusan risiko dan proses pelantikan dalam TH.

Jelas beliau, pelantikan barisan pengurusan dan ahli lembaga perlu dilaksanakan berasaskan merit, kepakaran serta integriti bagi memastikan institusi berkenaan bebas daripada kepentingan luar termasuk campur tangan politik.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.