
PUTRAJAYA, 11 Ogos – Pengurus sumber manusia dalam sektor awam perlu memainkan peranan lebih strategik dan tidak lagi tertumpu kepada urusan pentadbiran.
- Pengurusan bakat dan keupayaan organisasi mesti disesuaikan supaya relevan dengan keperluan semasa.
- Pengurus HR perlu beralih daripada pentadbir kepada pemikir strategik, memberi input dalam keputusan berkaitan tenaga kerja.
- Perkukuh literasi digital, penguasaan AI, pemikiran analitikal berasaskan data, kepimpinan, pengurusan perubahan serta pemikiran kreatif dan holistik.
- Beralih daripada pendekatan berasaskan jawatan kepada pendekatan berasaskan keupayaan bagi menampung perubahan struktur dan teknologi.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail berkata, perubahan itu penting bagi memastikan pengurusan bakat dan keupayaan organisasi terus relevan dengan keperluan semasa.
“Melalui simposium pada kali ini, peranan pengurus sumber manusia perlu berubah seiring dengan perubahan dunia pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Simposium Perjawatan Sektor Awam 2026 di sini hari ini.
Pengurus sumber manusia perlu bergerak daripada peranan sebagai pentadbir kepada pemikir strategik, termasuk dalam membentuk bakat serta memberi pandangan kepada organisasi dalam membuat keputusan berkaitan tenaga kerja.
Antara keupayaan yang perlu diperkukuh termasuk literasi digital dan kecerdasan buatan (AI), pemikiran analitikal berasaskan data, kepimpinan, pengurusan perubahan serta pemikiran kreatif, inovatif dan holistik.
“AI tidak akan menggantikan penjawat awam. Sebaliknya, penjawat awam yang menguasai AI bakal menggantikan penjawat awam yang tidak menggunakannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, sektor awam juga perlu beralih daripada pendekatan berasaskan jawatan kepada pendekatan berasaskan keupayaan, mengambil kira perubahan berterusan dalam struktur organisasi, keperluan pekerjaan dan perkembangan teknologi.
Simposium Perjawatan Sektor Awam 2026 berlangsung di Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan penyertaan 450 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.