Pindaan Akta Orang Asli 1954 dijangka dibentang hujung tahun 2026

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama Menteri Kesihatan (kiri) dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat (kanan) pada majlis pelancaran Pelan Strategik Penentu Sosial Kesihatan Orang Asli di Kampung Air Banun hari ini/Foto BERNAMA

GERIK, 10 Ogos – Pindaan Akta Orang Asli 1954 diharap dapat dibentangkan di Dewan Rakyat pada hujung tahun ini bagi memastikan undang-undang berkenaan lebih relevan dengan keperluan semasa masyarakat Orang Asli.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akta Orang Asli 1954 dianggap sudah ketinggalan; pindaan kini sedang diperhalusi untuk menyesuaikan undang undang dengan keperluan semasa.
  • Pindaan khusus menangani isu tanah yang di bawah bidang kuasa negeri; kertas kabinet belum dipersembahkan kepada Majlis Raja Raja untuk penelitian.
  • Cadangan pindaan berada pada peringkat Kajian Literatur Sistematik untuk mengumpul maklum balas dan menumpukan kepada penambahbaikan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, akta berkenaan sudah terlalu lama dan beberapa pindaan kini sedang diperhalusi.

Katanya, antara perkara yang diberi perhatian ialah pindaan berkaitan tanah yang tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri.

“Maka kertas kabinet yang telah diluluskan pada dasarnya belum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk penelitian. Jadi beberapa pindaan terutamanya yang melibatkan soal tanah, tanah adalah di bawah kuasa kerajaan negeri. Maka beberapa penambahbaikan sedang dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Gerik, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Ramli Mohd Nor berkata cadangan pindaan berkenaan kini berada pada peringkat Kajian Literatur Sistematik (SLR) bagi mendapatkan maklum balas lebih menyeluruh.

Pindaan itu lebih tertumpu kepada aspek pentadbiran bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Orang Asli dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan berkesan.

Akta Orang Asli 1954 kali terakhir dipinda pada 1974, manakala undang-undang asal digubal ketika zaman darurat, antara lain bagi melindungi masyarakat Orang Asli daripada ancaman komunis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.