
PUTRAJAYA, 10 Ogos – Perdagangan intra-ASEAN yang kini masih di bawah 25 peratus perlu dipertingkatkan bagi memastikan rantau ini terus berkembang sebagai blok ekonomi yang kukuh.
- Perdagangan intra-ASEAN perlu dipertingkatkan untuk memantapkan blok ekonomi rantau.
- ASEAN berpotensi menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, menjadikan pengukuhan perdagangan dalaman penting.
- Memudah cara perdagangan melalui pergerakan bebas barangan dibawa sebagai mekanisme utama meningkatkan aliran barangan antara negara anggota.
- Malaysia terus memainkan peranan menerajui inisiatif ASEAN, termasuk sokongan sebagai 'permanent shepherd' Visi Komuniti ASEAN 2045.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, usaha itu penting susulan potensi ASEAN untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, selain memperkukuh hubungan ekonomi antara negara anggota.
“Banyak perkara, perdagangan yang perlu kita pertingkatkan sesama negara dalam ASEAN dan kita mencari mekanisme yang membolehkan perdagangan ini dipertingkatkan,” katanya dalam sidang media Sambutan Hari ASEAN Ke-59 di Wisma Putra.
Antara mekanisme yang sedang diberi tumpuan ialah memudah cara perdagangan melalui konsep pergerakan bebas barangan bagi meningkatkan aliran barangan antara negara ASEAN.
Menurut beliau, Malaysia yang sebelum ini mempengerusikan ASEAN turut memainkan peranan dalam membawa pelbagai inisiatif dan resolusi, yang kini diteruskan Filipina selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Kepercayaan kepada Malaysia sebagai “permanent shepherd” bagi Visi Komuniti ASEAN 2045 pula dilihat sebagai peluang untuk memastikan agenda pengukuhan perdagangan intra-ASEAN terus menjadi antara keutamaan rantau ini,” katanya.