
PUTRAJAYA, 10 Ogos – Myanmar bersedia membawa pulang kira-kira 5,000 pelarian negara itu yang berada di Malaysia menggunakan kapal, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
- Cadangan membawa pulang pelarian menggunakan kapal sebagai salah satu kaedah penghantaran balik.
- Keselamatan pelarian perlu diutamakan untuk memastikan mereka tidak menghadapi risiko selepas dihantar pulang.
- Kementerian Luar bertindak sebagai fasilitator, bergantung persetujuan Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa Myanmar.
- Isu pelarian perlu ditangani ASEAN bersama dan tekan Myanmar laksanakan Konsensus Lima Perkara; proses saringan perlu disegerakan.
Beliau berkata, persetujuan itu dimaklumkan kepadanya oleh rakan sejawatannya dari Myanmar dalam pertemuan baru-baru ini.
Bagaimanapun, aspek keselamatan pelarian berkenaan perlu diberi keutamaan bagi memastikan mereka tidak berdepan risiko selepas dihantar pulang.
Kementerian Luar hanya bertindak sebagai fasilitator sekiranya keputusan penghantaran pulang dipersetujui Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkuasa Myanmar.
“Tetapi isunya ialah keselamatan 5,000 orang ini. Apakah apabila kita menghantar mereka balik, mereka selamat ataupun apa akan terjadi? Itu perlu juga difikirkan,” katanya dalam sidang media Sambutan Hari ASEAN Ke-59 di Wisma Putra.
Datuk Seri Mohamad turut menegaskan, isu pelarian perlu ditangani oleh ASEAN secara bersama, termasuk terus memberi tekanan kepada Myanmar untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi memulihkan keamanan di negara itu.
Tiada tempoh masa khusus ditetapkan ketika ini, namun proses itu perlu disegerakan selepas saringan sewajarnya dilaksanakan.
“Yang penting adalah keselamatan dalam negara Myanmar itu sendiri perlu ada dulu supaya mereka ini tidak dihantar balik, kemudian keluar balik. Jadi, itu kita nak lihat,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan persetujuan Myanmar untuk menerima semula 5,000 pelarian negara itu dari Malaysia hasil rundingan antara kedua-dua kerajaan.
Keputusan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menangani isu tersebut yang berlarutan, di samping memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.