
JAKARTA, 9 Ogos – Kebakaran hutan di Gunung Bromo merebak ke kawasan seluas kira-kira 520 hektar selepas angin kencang mempercepat penyebaran api di lereng dan kawasan savana gunung itu di Jawa Timur, menurut pihak berkuasa pada Ahad.
- TNBTS menutup Gunung Bromo kepada pelancong mulai 10 malam Sabtu sehingga dimaklumkan; pelawat boleh jadual semula atau minta bayaran balik.
- Siasatan punca kebakaran diserahkan kepada agensi penguat kuasa dan sesiapa yang melakukan pembakaran akan menerima hukuman sewajarnya.
- Keadaan rumput dan tumbuhan kering menjadikan kawasan lebih mudah terbakar dan menyukarkan kawalan api.
Ketua Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS), Rudijanta Tjahja Nugraha berkata keluasan kawasan terjejas bertambah selepas api kembali marak pada Sabtu malam, membakar bukan sahaja lereng gunung, malah kawasan savana.
“Kebakaran menjadi lebih besar akibat angin yang bertiup agak kencang sejak petang semalam, menyebabkan api merebak dengan pantas dari lereng bahagian atas ke kawasan yang lebih rendah,” katanya seperti dilaporkan Agensi Berita Antara.
Rudijanta berkata keadaan rumput dan tumbuh-tumbuhan lain yang telah kering menjadikan kawasan itu lebih mudah terbakar.
Pihak TNBTS menutup Gunung Bromo kepada pelancong di semua pintu masuk bermula 10 malam Sabtu sehingga dimaklumkan kelak bagi memudahkan usaha pemadaman kebakaran dan menjamin keselamatan pengunjung. Pengunjung yang terjejas diberi pilihan untuk menjadualkan semula tempahan atau menerima bayaran balik.
Sementara itu, Menteri Kehutanan Raja Juli Antoni berkata siasatan berhubung punca kebakaran itu diserahkan kepada agensi penguat kuasa.
“Sesiapa yang melakukan pembakaran hutan dan tanah akan menerima hukuman sewajarnya,” katanya menurut Antara.
Pihak TNBTS pada Jumaat memaklumkan bahawa kebakaran di Gunung Bromo dipercayai berpunca daripada aktiviti manusia. – BERNAMA