BERSATU tegaskan keanggotaan dalam PN masih sah

Facebook: Azmin Ali

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menegaskan kedudukannya sebagai parti anggota Perikatan Nasional (PN) masih sah dan tidak terbatal secara automatik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasal 7A Perlembagaan PN menetapkan hanya Majlis Presiden boleh memutuskan kedudukan parti anggota.
  • Wakil BERSATU didakwa dihalang menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan BN.
  • BERSATU akan membuat aduan rasmi kepada JPPM dan mengambil tindakan undang-undang bagi mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Perlembagaan PN tidak mempunyai sebarang peruntukan yang membolehkan keanggotaan sesebuah parti terbatal dengan sendirinya.

Menurutnya, berdasarkan Fasal 7A Perlembagaan PN, sebarang keputusan berhubung kedudukan parti anggota hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden.

“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan BERSATU dalam PN. Justeru, BERSATU masih parti anggota PN yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

BERSATU turut mendakwa wakilnya dihalang daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai lepas yang membuat keputusan berkaitan pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Tindakan Pengerusi PN dan Setiausaha Agung PN menghalang wakil BERSATU menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai 2026 yang membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan BN dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan PN,” katanya.

Susulan itu, BERSATU berkata pihaknya akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) berhubung dakwaan pelanggaran Perlembagaan PN berkenaan.

Parti itu turut menegaskan akan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang serta mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan.

Terdahulu pada 7 Ogos, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa BERSATU terkeluar secara automatik daripada PN selepas parti itu menyatakan hasrat untuk membentuk gabungan baharu bersama beberapa pihak lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.