Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS 2026 dilancar serentak di 15 lokasi seluruh negara

Foto FB Jabatan Penerangan Negeri Sembilan

SEREMBAN, 9 Ogos – Program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS 2026 – “Satu Rumah, Satu Jalur Gemilang”, dilaksanakan serentak di 15 lokasi seluruh negara pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif JAPEN bersama PETRONAS memperluas budaya mengibar Jalur Gemilang, menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.
  • Sebanyak 200 unit magnet Jalur Gemilang dan 300 beg cenderahati Hari Merdeka diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
  • Masyarakat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, pejabat dan premis perniagaan sebagai tanda cinta kepada negara.
  • Program memberi penekanan kepada kesedaran menghormati dan menghargai Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan serta identiti negara.

Inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia, (JAPEN) dengan kerjasama PETRONAS itu antara usaha memperluas budaya mengibar Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Di Negeri Sembilan, program berlangsung di stesen PETRONAS kawasan Rehat&Rawat (R&R) Seremban arah utara, Lebuhraya Utara Selatan.

Sebanyak 200 unit magnet Jalur Gemilang selain 300 beg cenderahati Hari Merdeka diedarkan secara percuma kepada orang ramai.

Pengarah JAPEN Negeri Sembilan, Mohd Sabri Abdullah berkata, masyarakat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman, pejabat serta premis perniagaan sebagai tanda cinta kepada negara.

“Jadi kita berharap semua rakyat, khususnya di Negeri Sembilan untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan juga Hari Malaysia dengan memasang bendera di setiap rumah, pejabat dan juga premis perniagaan. Ini ialah cara untuk kita menunjukkan semangat kita ataupun cinta kita kepada negara, ” katanya.

Program itu turut memberi penekanan terhadap kesedaran masyarakat mengenai tanggungjawab menghormati dan menghargai Jalur Gemilang sebagai lambang kebanggaan serta identiti negara.

Selain Negeri Sembilan, program sama turut dilaksanakan di stesen-stesen PETRONAS terpilih di Kuala Lumpur, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Labuan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.