Enam warga asing ditahan di Kampung Nakhoda dan Taman Laksamana

Warga asing yang diperiksa dalam Ops Bersama semalam/Foto JIM Selangor

SHAH ALAM , 17 Oktober – Enam lelaki warga Pakistan ditahan Jabatan Imigresen Selangor daripada 184 individu yang diperiksa dalam Ops Bersama di Kampung Nahkoda dan Taman Laksamana, Batu Caves, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tangkapan disyaki melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
  • Operasi melibatkan 207 anggota daripada enam agensi penguatkuasa termasuk PDRM, KDN, JIM, MPS, JBPM dan ROS.
  • KDN mengambil tindakan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
  • JBPM kenal pasti kekurangan keselamatan kebakaran; MPS keluarkan notis dan sita berkaitan pelesenan serta pembinaan tanpa kebenaran.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua lelaki warga asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka yang ditahan masing-masing berusia 17, 21, 31, 37, 44 dan 46 tahun.

Katanya, operasi itu melibatkan 207 anggota daripada enam agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen (JIM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

“KDN mengambil tindakan berkaitan kesalahan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.

“ROS pula merampas dokumen dan bahan berkaitan untuk semakan lanjut, manakala MPS mengambil tindakan terhadap kesalahan pelesenan perniagaan dan pembinaan tanpa kebenaran.

“Ia termasuk mengeluarkan notis serta membuat sitaan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Anggota penguat kuasa memeriksa warga asing dalam operasi bersepadu di Kampung Nahkoda, Batu Caves, Gombak/Foto JIM Selangor

Pemeriksaan pihak bomba turut mengenal pasti ketidakpatuhan aspek keselamatan kebakaran, termasuk kekurangan alat pemadam api dan kemudahan pelepasan kecemasan bangunan.

Menurut Shazeli, operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.