PM beri komitmen persempadanan DUN Sarawak, minta laporan SPR – Datuk Seri Fahmi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komitmen untuk melaksanakan persempadanan semula Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi membolehkan pertambahan kerusi, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang 2025, menambah 17 kerusi, jumlah keseluruhan menjadi 99.
  • Suruhanjaya Pilihan Raya diminta menyediakan laporan terkini mengenai cadangan persempadanan.
  • Tempoh pelaksanaan persempadanan belum dimaklumkan kerana beberapa perkara masih menunggu tindakan SPR.
  • Kementerian bersiap untuk PRN Melaka; MCMC diarahkan memastikan capaian internet dan bilik media di pusat pengundian.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini, dengan Perdana Menteri meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan laporan terkini berhubung cadangan berkenaan.

Datuk Seri Fahmi berkata tempoh pelaksanaan persempadanan berkenaan masih belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kerana terdapat beberapa perkara yang masih menunggu tindakan pihak SPR.

“Komitmen yang dibuat Perdana Menteri adalah untuk melaksanakan dan ada sedikit proses yang beliau maklumkan kepada Jemaah Menteri yang melibatkan pihak SPR, jadi ini akan dilaksanakan,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 bagi menambah 17 kerusi baharu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN negeri itu kepada 99.

Dalam perkembangan berkaitan pilihan raya, Datuk Seri Fahmi berkata kementeriannya turut membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, termasuk mengenal pasti lokasi bilik media serta memastikan keperluan capaian internet di semua pusat pengundian.

Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diminta bekerjasama dengan SPR bagi mengenal pasti dan menguruskan keperluan capaian internet di pusat-pusat pengundian di Melaka lebih awal.

Menurutnya, pendekatan sama telah dilaksanakan dalam persiapan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

“MCMC di Johor dan juga Negeri Sembilan telah pastikan setiap, hampir setiap pusat pengundi mempunyai capaian internet yang memuaskan. Mungkin bukan untuk semua telco tetapi untuk hampir ke semuanya. Jadi kita akan lakukan perkara yang sama untuk negeri Melaka, persiapan untuk urusan internet,” katanya.

Beliau berkata, persiapan awal itu penting bagi memastikan keperluan komunikasi di pusat pengundian dapat diuruskan dengan baik, selain membantu kelancaran liputan media sepanjang PRN Melaka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ekspresi Jalur Gemilang JAPEN@PETRONAS di Pantai Dalam, hari ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.