
PUTRAJAYA, 9 Ogos – Satu pelan komprehensif akan dilaksanakan bagi menambah baik aspek keselamatan pemeriksaan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
- KDN dan Kementerian Pengangkutan bekerjasama tumpu operasi, pengurusan tenaga manusia dan penyelarasan antara agensi.
- Jemaah Menteri memutuskan tumpuan kepada langkah segera untuk memperkukuh keselamatan pintu masuk utama negara.
- Pertemuan pada Isnin akan melaksanakan arahan Perdana Menteri dan meneliti penempatan serta peranan Polis Diraja Malaysia dalam AVSEC.
- Pemeriksaan dikendalikan Aviation Security dan Polis Bantuan MAHB; tumpuan kepada pengesanan senjata, dengan mesin imbas mengikut piawaian ICAO.
Menurut Menteri Dalam Negeri, (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pelan itu yang disediakan KDN dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) merangkumi aspek operasi, tenaga manusia serta penyelarasan antara agensi.
Beliau berkata, perkara itu yang diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lepas turut memberi tumpuan kepada langkah segera bagi memperkukuh keselamatan di pintu masuk utama negara.
Satu pertemuan akan diadakan pada Isnin dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, termasuk meneliti keperluan penempatan serta peranan Polis Diraja Malaysia dalam Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) KLIA.
“Pagi esok saya akan mengadakan pertemuan khusus bagi melaksanakan arahan Perdana Menteri. Pemeriksaan bagasi dibuat oleh Aviation Security, Polis Bantuan MAHB dan keutamaannya adalah sesuai dengan standard pemeriksaan lapangan terbang antarabangsa bawah ICAO, International Civil Aviation Organization (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa).”
“Jadi, tumpuan keutamaannya lebih kepada senjata — senjata api, senjata tajam, bom dan sebagainya. Tiada kurangnya dari segi mesin imbasan. Kami diberi taklimat oleh Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). Mesin imbas kita ada keupayaan semuanya. Tapi cuma dari sudut skop pemeriksaan itu, tumpuan lebih kepada elemen persenjataan, ” katanya dalam sidang media selepas majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC di Putrajaya.
Datuk Seri Saifuddin juga menegaskan, langkah penambahbaikan itu penting bagi memastikan keselamatan KLIA sebagai pintu masuk utama negara terus berada pada tahap baik, selain memelihara imej Malaysia sebagai destinasi penerbangan antarabangsa yang selamat.