Espriella ikrar perangi habis-habisan terhadap pengganas narkotik

Presiden bahaeu Colombia, Abelardo de la Espriella / AFP

CALI, 8 Ogos – Presiden baharu Colombia, Abelardo de la Espriella, berikrar untuk memulihkan ketenteraman negara dan menghapuskan kegiatan pengganas narkotik dalam ucapan sulungnya sejurus mengangkat sumpah, Jumaat lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan tegas terhadap kumpulan bersenjata; menolak dialog gerila dan tidak kompromi dengan keganasan narkotik.
  • Kerajaan sertai pakatan Shield of the Americas; sokongan AS termasuk bantuan keselamatan AS$1 bilion dan cadangan penempatan tentera AS.
  • Rancangan operasi keras: mengebom makmal kokain, bina penjara mega, Rancangan Colombia II bersama AS dan Israel; amaran risiko pelanggaran hak asasi.

Beliau juga berkata pendekatan lebih tegas akan diambil terhadap kumpulan bersenjata yang mencetuskan ketidakstabilan.

Pemimpin berusia 48 tahun itu, yang mendapat sokongan Amerika Syarikat (AS), tiba menaiki helikopter untuk berucap di hadapan ratusan anggota tentera di sebuah kem tentera selepas majlis pelantikannya di bandar Cali, barat daya negara itu.

Beliau turut menegaskan tiada lagi ruang untuk sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan negara, selain berjanji untuk tidak berkompromi terhadap kegiatan keganasan narkotik dan menganggap pendekatan dialog dengan kumpulan gerila sudah tidak lagi relevan.

Sebagai langkah awal pentadbirannya, beliau berkata Colombia akan menyertai pakatan antikartel serantau dikenali sebagai Shield of the Americas yang dipelopori Presiden AS, Donald Trump.

Washington turut menyatakan sokongan apabila Jabatan Negara AS merancang menyalurkan bantuan keselamatan bernilai AS$1 bilion (kira-kira RM4.6 bilion) bagi memperkukuh keupayaan pentadbiran baharu itu.

De la Espriella, yang memiliki dwi kenegaraan iaitu AS-Colombia, turut mencadangkan penempatan tentera AS di negara itu, selain merancang tindakan mengebom makmal kokain di hutan, membina “penjara mega” dan mengurangkan saiz kerajaan.

De la Espriella turut merancang pelaksanaan “Rancangan Colombia II” dengan kerjasama AS dan Israel bagi memperhebat operasi menentang kartel dadah dan kumpulan gerila.

Meskipun pendekatan keras itu disokong sebahagian rakyat yang mahukan perubahan drastik, pakar mengingatkan ia berpotensi mengulangi kontroversi pelanggaran hak asasi manusia seperti yang pernah dikaitkan dengan pelan terdahulu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.