
SAUDARA PENGARANG
- Ketua birokrasi mesti pimpin pembersihan ekosistem perolehan; tender terbuka, pengisytiharan pemilik sebenar, hentikan rundingan terus bernilai tinggi.
- Digitalisasi mutlak untuk hapuskan ruang budi bicara; transaksi tanpa kaunter, keputusan direkod jejak audit digital masa nyata.
- Bina perlindungan mutlak untuk pemberi maklumat; unit integriti bebas lapor terus kepada SPRM dan OACP dijadikan KPI kenaikan pangkat.
Kejayaan Malaysia melonjak ke tangga ke-54 daripada 182 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 dengan skor 52 mata adalah satu pencapaian yang melegakan.
Ia membuktikan bahawa fasa awal penataan semula tadbir urus dan penguatkuasaan tegas yang digerakkan mutakhir ini mula membuahkan hasil di mata dunia.
Bagaimanapun, kita tidak boleh mendepani angka ini dengan rasa selesa yang melenakan. Sasaran besar negara untuk menembusi kedudukan 25 negara teratas dunia menjelang tahun 2030 menuntut sebuah anjakan paradigma yang jauh lebih agresif, berstruktur, dan menyeluruh.
Jika selama ini tumpuan kritikan sering dihala kepada iltizam politik kepimpinan negara, garis masa reformasi hari ini menuntut kita melihat ke dalam enjin pentadbiran awam itu sendiri.
Kita harus sedar bahawa dasar terbaik sekali pun akan gagal sekiranya jentera pelaksanaannya rapuh. Maka, bebanan dan mandat terbesar untuk merealisasikan sasaran CPI ini kini berpindah dan terletak sepenuhnya di bahu ketua birokrasi negara atau pemimpin organisasi.
Individu itu ialah Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian dan Ketua Pengarah (KP) Jabatan. Mereka bukan sekadar pentadbir; mereka adalah panglima integriti di barisan hadapan. Penulis berpendapat bahawa empat reformasi struktur drastik mesti digerakkan tanpa kompromi oleh para KSU dan KP bermula hari ini:-
1. Bersihkan Ekosistem Perolehan dan Kontrak Awam
Sektor perolehan kerajaan sekian lama menjadi “lubang hitam” yang menjejaskan skor CPI akibat ketirisan sistemik. Di bawah kerangka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024–2028, amalan pemberian projek melalui rundingan terus yang bernilai tinggi wajib dihentikan sepenuhnya.
KSU perlu memastikan sistem tender terbuka dilaksanakan secara mutlak, di samping mewajibkan pengisytiharan pemilik sebenar (beneficial ownership) bagi setiap syarikat pembida untuk menyekat amalan kronisme atau proksi.
Desakan untuk menyegerakan Akta Perolehan Kerajaan sebagai payung perundangan yang mengikat mesti disuarakan dari dalam kementerian itu sendiri.
2. Menghalang Ruang Budi Bicara Melalui Digitalisasi Mutlak
Kita tidak lagi boleh bertoleransi dengan sistem manual yang membenarkan interaksi fizikal berlebihan di kaunter-kaunter penguatkuasaan dan kelulusan lesen komersial.
KP di setiap jabatan mesti memimpin transisi ke arah urusan tanpa kaunter (counterless transactions). Apabila proses permohonan dioptimumkan melalui sistem kecerdasan buatan atau kelulusan automatik berpandukan algoritma, ruang untuk rundingan “bawah meja” secara langsung terhapus.
Setiap keputusan juga wajib direkodkan dalam sistem jejak audit digital (digital audit trail) bagi memastikan sebarang kelulusan luar biasa dapat dikesan secara masa nyata (real-time).
3. Bina Perisai Keselamatan Mutlak Untuk Pemberi Maklumat.
Tiada mana-mana suborganisasi yang mampu bersih sekiranya warga kerjanya dibayangi ketakutan untuk melaporkan salah laku. KSU dan KP bertanggungjawab menterjemahkan komitmen pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 ke peringkat akar umbi.
Unit Integriti di setiap kementerian tidak boleh lagi sekadar menjadi sekutu pentadbiran; struktur pelaporannya mesti diletakkan secara bebas dan melapor terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Malah, keberkesanan pelaksanaan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) wajib dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) tegar yang menentukan masa depan kenaikan pangkat pegawai-pegawai gred tinggi.
4. Amalkan Akauntabiliti Radikal Terhadap LKAN
Saban tahun, laporan audit mendedahkan pembaziran dana awam yang serupa, sekali gus menjadi bahan rujukan penganalisis antarabangsa untuk merendahkan persepsi terhadap Malaysia.
Amalan mengambil masa bertahun-tahun untuk menjawab teguran audit harus dinoktahkan. KSU mesti menetapkan KPI tegas di mana setiap teguran di bawah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) wajib diselesaikan dengan tindakan pembetulan mahu pun punitif dalam tempoh maksimum tiga bulan.
Ini perlu disokong dengan dasar data terbuka (open data) perbelanjaan kementerian agar boleh disemak secara telus oleh pihak media dan masyarakat sivil.
Kita harus berpijak di bumi nyata. Melonjak ke kedudukan 25 terbaik dunia bukan satu misi yang mudah, namun ia sama sekali tidak mustahil. Apabila agensi penguatkuasaan persekutuan bertindak tanpa memilih bulu, dunia mula melihat perubahan.
Namun, peranan menyekat peluang berlakunya rasuah sebelum ia diterjemahkan menjadi kes mahkamah adalah tugas mutlak birokrasi kementerian.
KSU dan KP memegang kunci kepada tatakelola Malaysia yang sebenar. Kegagalan bertindak secara radikal hari ini hanya akan meletakkan negara kembali ke takuk lama.
Pilihan kini di tangan barisan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam: mahu terus mempertahankan sistem lapuk yang penuh ketirisan, atau bangkit memahat sejarah sebagai generasi birokrat yang berjaya membersihkan maruah Malaysia di persada dunia.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mohd Gunawan Che Ab Aziz
Timbalan Pengarah
Bahagian Perancangan Governans Nasional
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia