
PUTRAJAYA, 7 Ogos – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan siasatan menyeluruh, telus dan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca tragedi renjatan elektrik yang meragut nyawa tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menjalankan tugas di Beaufort, Sabah, semalam.
- Tiga anggota PDRM maut dalam kejadian renjatan elektrik ketika menjalankan tugas.
- Mangsa: Korporal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, Korporal Chiu Teck Siong dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee.
- Kejadian berlaku semasa mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki untuk mengait kelapa di luar Balai Polis Weston.
- Kelemahan mesti ditangani segera dan langkah penambahbaikan dilaksanakan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Tegas beliau, sebarang kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani segera, selain langkah penambahbaikan dilaksanakan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
Tiga anggota yang terkorban ialah Korporal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, Korporal Chiu Teck Siong dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee.
“Pemergian mereka merupakan kehilangan besar kepada Kementerian Dalam Negeri selepas mencurahkan khidmat dan bakti kepada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada waris mangsa dan mendoakan mereka
diberi ketabahan serta dipermudahkan segala urusan.
Dalam kejadian petang semalam, tiga anggota itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki.
Alat tersebut digunakan untuk mengait kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.