
KOTA KINABALU, 7 Ogos – Jenazah tiga anggota polis yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Kampung Weston, Beaufort semalam akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing selepas proses bedah siasat selesai.
- Bedah siasat serentak bermula 8.30 pagi di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
- Mangsa ialah Korporal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, Korporal Chiu Teck Siong dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee.
- Ketiga-tiga anggota dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi 29 kaki untuk mengait kelapa di luar Balai Polis Weston.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, bedah siasat dijalankan serentak ke atas ketiga-tiga jenazah bermula 8.30 pagi tadi di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Tiga anggota yang terkorban ialah Korporal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, Korporal Chiu Teck Siong dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee.
“Jenazah Korporal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah untuk solat jenazah sebelum dihantar pulang ke Kelantan dan Terengganu.
“Jenazah Korporal Chiu Teck Siong pula akan diterbangkan ke Sarawak menggunakan khidmat Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam sidang media.
Dalam kejadian petang semalam, ketiga-tiga anggota itu dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi sepanjang 29 kaki yang digunakan untuk mengait kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan siasatan menyeluruh, telus dan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berkata, sebarang kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani segera, manakala langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi mengelakkan insiden sama berulang.
“Pemergian mereka merupakan kehilangan besar kepada Kementerian Dalam Negeri selepas mencurahkan khidmat dan bakti kepada negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan mereka diberi ketabahan serta dipermudahkan segala urusan.