Defisit fiskal negara susut kepada 3.7%, bukti keyakinan pelabur masih kukuh

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menyampaikan ucaptama pada RHB Capital X Summit 2026 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Defisit fiskal negara berjaya dikurangkan kepada 3.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu berbanding 6.4 peratus pada 2021, sekali gus mencerminkan disiplin fiskal kerajaan yang terus mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkukuhan rangka fiskal melalui Akta Kewangan Awam, penyasaran semula subsidi bahan api dan pemodenan percukaian melalui e-Invois.
  • Kerajaan komited mengurangkan defisit fiskal kepada sekitar tiga peratus dalam tempoh sederhana.
  • Penerbitan sukuk global AS$1.5 bilion diterima baik, dilanggan 4.7 kali ganda oleh lebih 140 pelabur antarabangsa.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu menjadi asas penting dalam menarik aliran pelaburan yang lebih kukuh ke negara ini.

“Di sebalik pencapaian itu, kerajaan memperkukuh rangka kerja fiskal menerusi Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, penyasaran semula subsidi bahan api serta pemodenan pentadbiran percukaian melalui e-Invois,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada RHB Capital X Summit 2026 di sini, hari ini.

Menurut beliau, meskipun berdepan peningkatan kos susulan kejutan harga tenaga pada tahun ini, kerajaan kekal komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada sekitar tiga peratus dalam tempoh sederhana.

Datuk Seri Amir berkata, keyakinan pelabur terhadap kedudukan fiskal negara turut diterjemahkan menerusi penerbitan sukuk global bernilai AS$1.5 bilion pada bulan lalu yang menerima sambutan menggalakkan daripada lebih 140 pelabur antarabangsa.

Katanya, penerbitan itu mencatat langganan sebanyak 4.7 kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan, sekali gus mencerminkan tahap kepercayaan tinggi pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

Beliau menambah, disiplin fiskal bukan sahaja membantu mengurangkan kos pinjaman kerajaan, malah turut menurunkan kos pembiayaan syarikat Malaysia di pasaran antarabangsa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.