
PUTRAJAYA, 5 Ogos- Kerjasama lebih rapat dengan platform media sosial perlu diperkasa bagi membendung penyebaran kandungan sensitif termasuk bunuh diri yang berisiko mencetuskan tingkah laku meniru atau “copycat” dalam kalangan masyarakat.
- Jemaah Menteri mengambil maklum hasil sidang meja bulat anjuran CMCF bersama Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan.
- Sesi menekankan penyampaian maklumat bertanggungjawab bagi mencegah tingkah laku meniru dan pelaporan media yang beretika.
- NCEM di bawah KKM dan CMCF diminta mengadakan libat urus lebih rapi dengan platform media sosial.
- Libat urus antara platform media sosial dan agensi penguat kuasa perlu dipertingkat untuk komunikasi tepat, beretika dan tidak memberi kesan negatif.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkara itu diberi perhatian menerusi mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang mengambil maklum hasil sidang meja bulat anjuran Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bersama Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEM).
Beliau berkata sesi berkenaan memberi tumpuan kepada penyampaian maklumat secara bertanggungjawab dalam usaha mencegah tingkah laku bunuh diri, termasuk memastikan pelaporan media dibuat secara beretika.
“Jemaah Menteri juga mengambil maklum bahawa pihak NCEM di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) serta CMCF perlu mengadakan libat urus yang lebih rapi dan mendalam bersama platform-platform media sosial yang mungkin menjadi tempat tersebarnya video ataupun kandungan yang mungkin akan disalah tafsir atau mengakibatkan ‘copycat’,” katanya pada sidang media mingguan hari ini.
Datuk Seri Fahmi berkata libat urus bersama platform media sosial dan agensi penguat kuasa juga perlu dipertingkat bagi memastikan komunikasi berkaitan isu itu disampaikan secara tepat, beretika serta tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat.