
PUNCAK ALAM, 5 Ogos – Kementerian Pendidikan (KPM) mengulangi komitmen untuk terus mengangkat serta memartabatkan agenda pendidikan negara dengan memperkasakan pembangunan modal insan menerusi program reformasi sekolah.
- Reformasi sekolah bertujuan mengangkat martabat sekolah melalui pengukuhan keupayaan, pentadbiran dan sistem sokongan sekolah.
- Sekolah tidak akan berjaya tanpa pembudayaan dan sistem sokongan kukuh, termasuk disiplin, pentadbiran serta guru yang fokus kepada pelajaran.
- Projek SJKC Eco Grandeur disiapkan untuk 2028, kapasiti hampir 1,000 murid dan konsep perpustakaan dalam taman.
Menterinya, Fadhlina Sidek menjelaskan komitmen itu melibatkan semua jenis sekolah bagi menjayakan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.
“Kita tidak boleh melihat sekolah ini secara terpisah-pisah. Apa sahaja jenis pendidikan, itulah komitmen Kerajaan MADANI dan kita mesti mengangkat setiap sekolah ini dalam konteks bahawa anak-anak kita mempunyai potensi yang besar,”katanya.
Beliau dalam masa sama yakin dengan komitmen semua pihak dalam menyediakan persekitaran sekolah kondusif dan selamat dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Reformasi sekolah antara lain juga bermatlamat mengangkat martabat sekolah, berkait kepada keupayaan sekolah, pentadbiran dan sistem sokongan sekolah.
“Sekolah tidak akan berjaya tanpa sistem sokongan dan pembudayaan yang kuat termasuk disiplin, pentadbiran serta guru-guru yang memberikan perhatian kepada perkara-perkara berkaitan pelajaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Eco Grandeur, di sini.
SJKC Eco Grandeur yang dibangunkan di atas tapak seluas 6.69 ekar dijangka siap penghujung 2027 dan sedia menerima kumpulan murid pertama bagi sesi persekolahan 2028 dengan kapasiti hampir 1000 murid turut menyediakan konsep perpustakaan dalam taman.