
SANAA, 5 Ogos – Kumpulan Houthi yang disokong Iran mendakwa menyerang sebuah kapal tangki minyak Arab Saudi di utara Laut Merah berhampiran pantai Yanbu pada Rabu, ketika kumpulan itu meneruskan sekatan maritim yang diisytiharkan ke atas Riyadh.
- Jurucakap Houthi Yahya Saree mengumumkan kapal tangki 'Wafa' disasarkan dengan peluru berpandu balistik.
- Kapal tangki itu adalah kelapan kapal tangki Arab Saudi disasarkan sejak sekatan maritim bermula 22 Julai.
- Houthi mengumumkan akan meningkatkan serangan di utara Laut Merah untuk menutup semua laluan kapal tangki Saudi.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree menerusi satu video mengumumkan kejayaan kumpulan itu menyasarkan kapal tangki minyak ‘Wafa’ menggunakan beberapa peluru berpandu balistik.
Kapal berkenaan merupakan kapal tangki minyak Arab Saudi kelapan yang menjadi sasaran, sejak sekatan maritim bermula pada 22 Julai.
Houthi turut mengumumkan akan meningkatkan serangan di utara Laut Merah selepas mendakwa Arab Saudi mengalihkan laluan kapal tangki minyaknya ke kawasan itu berikutan sekatan yang dikenakan.
Sekatan tersebut menjejaskan keupayaan Arab Saudi yang merupakan antara pengeksport minyak terbesar dunia untuk menghantar bekalan minyak ke pasaran global, selepas Iran melaksanakan sekatan serentak di Selat Hormuz, sekali gus menutup satu lagi laluan maritim utama negara itu.
Menurut Saree, sekatan Houthi telah memaksa Arab Saudi mengalihkan kapal tangki minyaknya ke utara Laut Merah.
“Rentetan itu, kami akan meningkatkan serangan ke atas kapal tangki minyak Arab Saudi di utara Laut Merah bagi menutup semua laluan dan menghalang pergerakannya,” katanya.
Selepas Iran menutup Selat Hormuz, pelabuhan Yanbu di Laut Merah menjadi pintu keluar utama eksport minyak Arab Saudi, manakala Selat Bab al-Mandeb muncul sebagai laluan transit penting bagi penghantaran minyak mentah.
Selat sempit itu menghubungkan Laut Merah dengan Lautan Hindi dan seterusnya ke Laut Mediterranean menerusi Terusan Suez.
Menurut data firma penjejak maritim Kpler, eksport minyak mentah Arab Saudi melalui Selat Bab al-Mandeb meningkat lapan kali ganda antara Mac hingga pertengahan Julai 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jumlah eksport itu melonjak kepada hampir 100 juta tong pada Jun berbanding hanya tujuh juta tong pada Februari.
Data Kpler turut menunjukkan pada April dan Mei, semua eksport minyak mentah Arab Saudi melalui laut berlepas dari Pelabuhan Yanbu. -AFP