
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Gempa bumi kuat berukuran 6.5 magnitud melanda Mindanao, selatan Filipina pada Rabu.
- METMalaysia laporkan gempa berlaku pukul 12.14 tengah hari pada kedalaman 10 kilometer.
- Episenter kira-kira 159 kilometer tenggara Koronadal City, Filipina.
- Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
- Gempa ini menyusul selepas gegaran 8 Jun yang merobohkan bangunan, menimbulkan tanah runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 76 orang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan melaporkan, gempa itu berpusat di koordinat 5.2 darjah Utara dan 125.4 darjah Timur, kira-kira 159 kilometer Tenggara dari Koronadal City, Filipina.
“Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 10 kilometer dan penilaian awal mendapati tiada ancaman tsunami kepada Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan kekuatan gempa berkenaan pada magnitud 6.3, manakala Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan gempa tersebut berlaku pada kedalaman 62 kilometer.
Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai kemalangan jiwa, mahupun kerosakan harta benda.
Gempa itu menyusul selepas gegaran kuat pada 8 Jun lalu yang merobohkan bangunan, mencetuskan tanah runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 76 orang di Pulau Mindanao.