Buka Selat Hormuz atau berdepan tindakan keras – Trump

Foto REUTERS

CALIFORNIA, 5 Ogos – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa Iran akan menerima tindakan yang sangat keras, sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula dalam masa terdekat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rundingan antara AS, Iran dan Oman hampir mencapai perjanjian interim untuk membuka semula Selat Hormuz.
  • Cadangan melibatkan tempoh 60 hari, menjamin laluan selamat tanpa tol dan boleh dilanjutkan selepas tamat.
  • Semua kapal masuk menggunakan laluan utara; kapal keluar melalui laluan selatan di perairan Oman, mengekalkan keselamatan laluan minyak dan gas.

Dalam temu bual bersama Fox News, Trump memaklumkan rundingan sedang berlangsung, ketika laporan Axios menyatakan AS, Iran dan Oman hampir mencapai persetujuan interim untuk membuka semula laluan strategik itu, yang dijangka diumumkan Washington seawal Rabu.

“Selat itu akan dibuka semula tidak lama lagi atau mereka akan menerima tindakan yang sangat keras dan selepas itu, selat tersebut tetap akan dibuka,” katanya ketika mengadakan lawatan ke California.

Selat Hormuz merupakan laluan penting bagi penghantaran bekalan minyak dan gas dunia serta sering menjadi titik ketegangan yang mencetuskan konflik.

“Kami sedang mengadakan perbincangan yang sangat baik,” katanya sambil menegaskan Iran berminat mencari jalan menamatkan konflik yang tercetus pada 28 Februari selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.

“Satu-satunya perkara yang penting ialah tindakan. Mereka mahu mencapai persetujuan. Kita akan lihat apa yang akan berlaku. Saya mempunyai banyak masa,” katanya.

Beliau percaya persetujuan itu boleh dicapai “esok atau lusa”.

Menurut laporan Axios yang memetik pegawai serantau dan seorang pegawai AS yang tidak dinamakan, cadangan perjanjian itu melibatkan tempoh 60 hari bagi menjamin laluan selamat di Selat Hormuz antara Iran dengan Oman.

Perjanjian itu yang tidak melibatkan sebarang bayaran tol, boleh dilanjutkan selepas tempoh tersebut.

Bawah cadangan berkenaan, semua kapal yang memasuki kawasan Teluk akan menggunakan laluan perkapalan di bahagian utara, manakala kapal yang keluar akan melalui laluan selatan di perairan wilayah Oman. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.