
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Kerangka perundangan berkaitan keselamatan negara perlu dinilai semula secara berterusan agar kekal relevan dalam menangani ancaman baharu, termasuk serangan siber, penyebaran maklumat palsu serta campur tangan asing.
- Kerangka keselamatan perlu menangani ancaman siber, maklumat palsu, ekstremisme, jenayah rentas sempadan dan campur tangan asing.
- Pengukuhan perundangan mesti dilaksanakan seimbang dengan kedaulatan undang-undang, perlindungan hak asasi dan kepentingan awam.
- Simposium bina platform inklusif untuk semakan undang-undang melibatkan pelbagai pemegang taruh dan memperkasa penelitian dasar serta penguatkuasaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang Majlis Dewan Negara, Senator Rita Sarimah Patrick Insol berkata, landskap keselamatan negara kini tidak hanya tertumpu kepada ancaman fizikal atau keganasan, sebaliknya berkembang selari dengan kemajuan teknologi dan perubahan geopolitik dunia.
“Ancaman terhadap keselamatan negara tidak lagi hanya terbatas kepada ancaman fizikal atau keganasan semata-mata, sebaliknya merangkumi ancaman siber, penyebaran maklumat palsu dan disinformasi, ekstremisme, jenayah rentas sempadan, campur tangan asing, pengintipan atau espionage, serta pelbagai bentuk ancaman baharu yang muncul seiring dengan perkembangan teknologi dan perubahan geopolitik.
“Pada masa sama, sebarang usaha memperkukuh undang-undang berkaitan keselamatan negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira prinsip kedaulatan undang-undang, perlindungan hak asasi dan kepentingan awam,” katanya dalam sidang media selepas Simposium Jenayah Berhubung Keselamatan Negara: Menilai Semula Keberkesanan Undang-Undang Dalam Mendepani Ancaman Semasa dan Hala Tuju Masa Depan di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Simposium julung kali anjuran Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang bersama Majlis Keselamatan Negara itu menjadi platform memperkukuh fungsi semakan undang-undang melalui pendekatan lebih inklusif dengan penglibatan pelbagai pemegang taruh, selain memperkasa penelitian terhadap isu keselamatan negara daripada perspektif dasar, perundangan dan penguatkuasaan.
Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran turut hadir merasmikan simposium berkenaan.