JMR kembali pertaruh trio bertaraf dunia, sasar juara Suzuka 1000km

Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim menjuarai Perlumbaan 2 Kejohanan GT World Challenge Asia di Fuji International Speedway, Jepun pada Julai lalu/ Bernama

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Johor Motorsports Racing (JMR) sekali lagi menampilkan barisan pemandu profesional bertaraf bintang yang diketuai juara tiga kali Australian Supercars Scott McLaughlin bagi perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 kilometer (km) ke-50 di Jepun dari 11 hingga 13 September ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejayaan JMR menang kelas Pro-Am di 24 Jam CrowdStrike-Spa 2026 menguatkan keyakinan dan sasaran kemenangan keseluruhan di perlumbaan ketahanan GT3.
  • Tunku Panglima Johor dan Tunku Putera Johor akan berlumba dalam kategori Pro-Am bersama Ben Green, menyasarkan keputusan lebih baik berbanding podium tahun lalu.
  • McLaughlin, Catsburg dan Sims memiliki reputasi antarabangsa dengan kemenangan besar serta pengalaman IMSA, Le Mans dan INDYCAR penting untuk pembangunan program Pro JMR.

McLaughlin akan bergabung semula dengan juara LMGT3 24 Jam Le Mans Nicky Catsburg dan juara berganda Persatuan Permotoran Antarabangsa (IMSA) Alexander Sims untuk memandu jentera Chevrolet Corvette Z06 GT3.R milik JMR dalam kategori Pro, selepas trio itu meraih tempat ketiga pada penampilan sulung pasukan berkenaan di Suzuka tahun lepas.

JMR menyertai perlumbaan tahun ini dengan keyakinan baharu selepas meraih kemenangan dalam kelas Pro-Am pada 24 Jam CrowdStrike-Spa 2026, sekali gus mengukuhkan hasrat untuk meraih kemenangan keseluruhan dalam satu daripada acara perlumbaan ketahanan GT3 paling berprestij di dunia.

Sementara itu, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim akan bersaing dalam kategori Pro-Am bersama pemandu Britain Ben Green, dengan menyasarkan untuk memperbaiki keputusan podium kelas mereka pada perlumbaan Suzuka 2025.

McLaughlin, 33, merupakan juara tiga kali Australian Supercars (2018-2020) yang kini bersaing sepenuh masa dalam INDYCAR Series bersama Team Penske, dengan dua kali menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan selain sudah merekodkan dua keputusan naib juara dan satu tempat ketiga pada perlumbaan Indianapolis 500 tahun ini.

Catsburg, 38, tiba di Jepun dengan reputasi cemerlang selepas menjuarai kelas LMGT3 pada perlumbaan 24 Jam Le Mans 2026 bersama TF Sport, selain turut mencabar kejuaraan GTD Pro IMSA WeatherTech SportsCar Championship bersama Corvette Racing.

Rakan sepasukan beliau dalam Corvette Racing, Sims yang juga berusia 38 tahun meraih kemenangan pada Chevrolet Detroit Sports Car Classic awal musim ini dan kini menduduki tempat keempat dalam kedudukan kejuaraan IMSA.

Tunku Abdul Rahman berkata pasukan itu terus mencatat peningkatan dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan dan percaya JMR berada dalam kedudukan baik untuk mencabar keputusan yang lebih cemerlang berbanding pencapaian podium tahun lepas.

“Tahun ini adalah mengenai usaha untuk menjadi lebih kuat bersama-sama sebagai sebuah pasukan. Kami menunjukkan kelajuan yang baik di Le Mans dan memenangi kelas kami pada perlumbaan 24 Jam CrowdStrike-Spa yang amat bermakna kepada kami.

“Musim lepas merupakan penampilan pertama kami di Suzuka dan kami berjaya menempatkan dua kereta di podium. Tahun ini kami berharap dapat mencatat keputusan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengalaman dan keupayaan McLaughlin, Catsburg serta Sims amat penting ketika JMR terus membangunkan program Pro jangka panjangnya. -BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.