
SERI MENANTI, 2 Ogos – Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Ismail Lasim berikrar membentuk sebuah kerajaan yang sentiasa mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
- Terjemah kepercayaan rakyat menjadi pentadbiran adil, telus dan berkesan serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
- Menjunjung kedaulatan Yang Dipertuan Besar, memelihara institusi diraja dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan serta Undang-Undang Tubuh Negeri.
- Mempertahankan serta mewariskan nilai Adat Perpatih muafakat, keadilan, kebersamaan dan kebijaksanaan kepada generasi akan datang.
Tegasnya, kepercayaan yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-16 bukan sekadar satu penghormatan, malah menjadi amanah besar yang perlu diterjemahkan menerusi pentadbiran yang adil, telus dan berkesan.
Beliau turut memberi jaminan bahawa seluruh barisan kepimpinan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya menjadi sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat serta meneruskan agenda pembangunan negeri.
“Patik menerima amanah ini dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran serta menyedari bahawa kepercayaan rakyat bukanlah sekadar suatu penghormatan.
Sebaliknya, merupakan satu tuntutan untuk membuktikan bahawa kerajaan yang diberi mandat akan bekerja dengan bersungguh-sungguh, mendengar denyut nadi rakyat serta melaksanakan tanggungjawab secara adil, telus dan berkesan, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan taat setia pada istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu di hadapan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti.
Dalam ucapan itu, Datuk Ismail turut berikrar akan menjunjung kedaulatan Yang Dipertuan Besar, memelihara kemuliaan institusi diraja serta mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Patik juga akan sentiasa menjunjung titah, nasihat, pandangan serta tunjuk ajar Tuanku dalam melaksanakan segala urusan dan tanggungjawab pentadbiran kerajaan negeri, selaras dengan semangat Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” katanya.
Beliau berkata, Negeri Sembilan mempunyai sejarah, warisan dan sistem adat yang istimewa, sehubungan itu, keunikan Adat Perpatih yang berteraskan nilai muafakat, keadilan, kebersamaan dan kebijaksanaan perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.