Kembara bahasa HKHM 2026 semarakkan cinta Bahasa Melayu

Foto BERNAMA

BANGI, 1 Ogos – Kementerian Komunikasi terus memfokuskan usaha menyemarak semangat patriotisme serta meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya generasi muda, terhadap kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menerusi Program Kembara Bahasa Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penglibatan pelajar Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur mempersembah aktiviti berteraskan bahasa Melayu, menyemai minat dan kecintaan dalam kalangan muda.
  • Perkembangan bahasa digital dan penggunaan slanga menjadi cabaran baharu yang memerlukan penglibatan aktif generasi muda untuk memelihara bahasa kebangsaan.
  • Kementerian akan memperkukuh kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka termasuk audit bahasa di kementerian dan jabatan kerajaan.

Setiausaha Bahagian Kanan Kementerian Komunikasi, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, program yang berlangsung dari Stesen KTM Komuter Kuala Lumpur ke Stesen KTM Komuter UKM itu merupakan antara pengisian sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bermula hari ini, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Kita harapkan daripada program seperti ini, kita dapat meningkatkan lagi kesedaran dan kecintaan dalam bahasa melayu. Kita tahu cabaran untuk memartabatkan bahasa itu lebih hebat dengan perkembangan terkini,” katanya ketika ditemui selepas Program Kembara Bahasa Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di Stesen KTM Komuter UKM, di sini.

Tambah Datuk Aminurrahim, usaha memartabatkan bahasa Melayu kini berdepan cabaran baharu susulan perkembangan bahasa digital dan penggunaan bahasa ‘slanga’ yang semakin meluas.

Sehubungan itu, penglibatan generasi muda dilihat penting dalam memastikan bahasa kebangsaan terus dipelihara.

Program itu turut disertai pelajar Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur yang mempersembahkan pelbagai aktiviti berteraskan bahasa Melayu.

“Kita nak mengajak golongan muda terutamanya untuk mengingat selain daripada mengingat sejarah, dia mengingat juga akar budaya dia,” katanya.

Mengulas pemilihan KTM sebagai lokasi program, beliau berkata ia membawa simbolik perjalanan sejarah negara dan akar budaya bangsa, manakala penamat di Stesen KTM Komuter UKM pula mencerminkan usaha menyemai kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa dan golongan muda.

Beliau memaklumkan, Kementerian Komunikasi akan terus memperkukuh kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka menerusi pelbagai inisiatif memartabatkan bahasa Melayu, termasuk audit penggunaan bahasa di kementerian dan jabatan kerajaan.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi muda, agar terus mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa yang menjadi identiti negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.