263 syarikat terima manfaat Insentif Cukai Galakan setakat Mei

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin meninjau sekitar penganjuran Seminar Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2026./ FB Datuk Chan Foong Hin

SHAH ALAM, 5 Ogos – Sebanyak 263 syarikat menerima manfaat menerusi Insentif Cukai Galakan bagi Projek Pengeluaran Bahan Makanan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 setakat Mei tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Insentif Cukai Galakan diterapkan untuk projek subsektor tanaman seluas 11,509 hektar dengan nilai pelaburan keseluruhan RM1.95 bilion.
  • Program Pemberdayaan Makanan Selamat melalui Amalan Pertanian Baik di bawah RMK-13 menerima peruntukan RM17.52 juta.
  • Insentif bersasar RM1.5 juta untuk myGAP dan myOrganic bagi pensijilan, pembaharuan, kos input dan pengeluaran hasil ladang berkualiti.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin berkata, insentif itu melibatkan projek subsektor tanaman seluas 11,509 hektar dengan nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM1.95 bilion.

“Bagi memperkukuh lagi daya tahan sektor agromakanan tempatan, kita turut melaksanakan Program Pemberdayaan Makanan Selamat melalui Amalan Pertanian Baik Subsektor Tanaman di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dengan peruntukan bernilai RM17.52 juta.

“Tahun ini, insentif bersasar berjumlah RM1.5 juta disediakan khusus untuk pengeluaran hasil ladang Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) dan Skim Pensijilan Organik Malaysia (myOrganic) bagi menggalakkan pensijilan baharu serta pembaharuan sijil, menampung kos input pertanian serta mempromosikan pengeluaran hasil ladang berkualiti tinggi yang selamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Seminar Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian 2026, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menggesa golongan petani memanfaatkan sepenuhnya pelbagai insentif yang disediakan kerajaan, termasuk BUDI Agri-Komoditi, Program Geran Agropreneur Muda, Program Geran Pemadanan High Impact Product (HIP) serta Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP).

Beliau turut menggalakkan penggunaan teknologi seperti Sistem Pengurusan Pengairan Pintar (SIMS) bagi mengoptimumkan pengurusan air secara masa nyata sebagai persediaan meningkatkan daya tahan hasil ladang dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, khususnya fenomena El Nino.

Terdahulu, Datuk Chan melancarkan Buku Pakej Teknologi Tanaman Bawang Merah sebagai panduan komprehensif dan rujukan rasmi bagi memperkasa pengeluaran bawang merah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan import.

Seminar selama tiga hari bermula 3 Ogos itu menghimpunkan lebih 450 peserta terdiri daripada pengeluar dan pengeksport tanaman makanan serta produk Industri Asas Tani (IAT), wakil persatuan, pegawai pengembangan serta agensi berkaitan dari seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.