Perkukuh pengeluaran tempatan, kurangkan kebergantungan import

Kebergantungan terhadap produk import lebih murah tidak semestinya memberi manfaat jangka panjang / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Ogos Produk yang berpotensi dihasilkan di dalam negara perlu diberi keutamaan bagi mengurangkan kebergantungan import.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kembangkan keupayaan industri tempatan melalui pelaburan, teknologi dan tenaga mahir untuk memperkukuh pengeluaran dan daya saing.
  • Gubal dasar jelas dan jangka panjang kerana pembangunan industri tidak dapat dicapai dalam tempoh singkat.
  • Kurangkan kebergantungan pada import murah yang menjejaskan kelangsungan, galakkan pelabur asing bawa teknologi dan produk baharu.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani memaklumkan pendekatan itu penting bagi membolehkan Malaysia membangunkan keupayaan industri sendiri menerusi pelaburan, teknologi dan tenaga mahir.

“Kita perlu menganalisis produk yang masih diimport serta mengenal pasti barangan yang sebenarnya mampu dihasilkan di dalam negara.

“Jika kita boleh menghasilkannya sendiri, kita buat di sini memandangkan Malaysia merekodkan nilai eksport sekitar RM1.6 trilion dan import RM1.45 trilion pada 2025,”katanya kepada media di luar persidangan RHB Progress Series 2026 anjuran RHB Bank Bhd.

Datuk Seri Johari turut memaklumkan, usaha itu perlu dilaksana menerusi dasar yang jelas memandangkan pembangunan sesuatu industri tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat.

“Kebergantungan terhadap produk import yang lebih murah tidak semestinya memberi manfaat dalam jangka panjang kerana ia boleh menjejaskan kelangsungan industri tempatan.

“Harga yang murah hari ini tidak semestinya kekal murah dan apabila aktiviti pengeluaran dalam negara semakin berkurangan, pihak luar akhirnya boleh menaikkan harga kerana kita tidak lagi mempunyai banyak pilihan,” ujarnya lagi.

Datuk Seri Johari mengakui, keadaan itu pernah berlaku dalam industri besi dan keluli apabila pemain baharu menawarkan produk yang sama sehingga menjejaskan daya saing industri tempatan.

“Pemain industri yang memasuki pasaran Malaysia seharusnya membawa teknologi baharu serta menghasilkan produk yang belum dihasilkan di negara ini dengan membawa teknologi dan menghasilkan produk yang belum ada di negara ini.

“Menerusi kaedah berkenaan, kita dapat mengurangkan import dan industri di negara ini dapat berkembang bersama,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.