Eksport beras Kemboja dijangka capai penanda aras bersejarah 1 juta tan pada 2026

Foto hiasan

PHNOM PENH, 5 Ogos – Kemboja mengeksport 707,471 tan beras dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, mencatatkan peningkatan ketara 68 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, lapor Xinhua memetik laporan Persekutuan Beras Kemboja (CRF) pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendapatan eksport Januari hingga Julai sebanyak US$415.1 juta, meningkat 34.3 peratus tahun ke tahun.
  • CRF jangka capai sasaran kerajaan 1 juta tan eksport tahun ini, mencipta rekod pertama melepasi ambang itu.
  • Sebanyak 61 syarikat mengeksport ke 66 negara dan rantau; pasaran utama ialah ASEAN, China dan Kesatuan Eropah.
  • Beras wangi premium dominan 59.2%, diikuti beras putih 23.6%, beras hancur 13.7%, rebus dan organik 3.5%.

Lonjakan eksport itu menjana pendapatan sebanyak US$415.1 juta dari Januari hingga Julai, iaitu peningkatan sebanyak 34.3 peratus setahun ke setahun.

“Berdasarkan prestasi kukuh kami sehingga Julai, kami menjangkakan dapat mencapai sasaran kerajaan untuk mengeksport satu juta tan beras tahun ini,” kata Presiden CRF Lay Chhun Hour.

Pencapaian sasaran berkenaan bakal melakar sejarah kali pertama eksport beras tahunan Kemboja melepasi ambang satu juta tan.

Menurut CRF, sebanyak 61 syarikat telah mengeksport beras Kemboja ke 66 negara dan rantau di seluruh dunia sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini. ASEAN, China dan Kesatuan Eropah kekal sebagai pasaran destinasi utama bagi beras Kemboja.

Dari segi kepelbagaian produk, beras wangi premium mendominasi pasaran eksport dengan menyumbang 59.2 peratus daripada jumlah keseluruhan. Beras putih mengekori pada 23.6 peratus, beras hancur pada 13.7 peratus, manakala beras rebus dan beras organik merangkumi baki 3.5 peratus.-BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.