
TEHRAN, 6 Ogos – Iran dan Oman hampir memuktamad aturan bersama bagi pergerakan kapal melalui Selat Hormuz selepas mencapai persetujuan mengenai koordinat geografi kawasan berkenaan.
- Kenyataan bersama mengandungi pertimbangan utama serta perkara dipersetujui kini dalam peringkat akhir semakan.
- Pemuktamadan bergantung kepada tiada halangan daripada pihak ketiga.
- Persefahaman dengan Oman tidak menjamin keselamatan semua kapal yang melalui Selat Hormuz.
- Iran menyalahkan AS atas ketidakselamatan; beberapa kapal laluan selatan menjadi sasaran; Tehran dikaitkan dengan niat kawal dan caj tol.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei berkata, kenyataan bersama kedua-dua negara yang mengandungi pertimbangan utama serta perkara dipersetujui kini berada pada peringkat akhir semakan.
Menurut beliau, proses itu boleh dimuktamadkan selagi tidak dihalang pihak ketiga .
“Bagaimanapun, persefahaman dengan Oman tidak semestinya menjamin keselamatan semua kapal yang melalui kawasan berkenaan.
“Keadaan tidak selamat di Selat Hormuz berpunca daripada Amerika Syarikat (AS), khususnya sekatan laut serta tindakan yang dianggap agresif dan mengancam Iran serta kepentingannya,” katanya.
Iran menguasai Selat Hormuz secara ‘de facto’ sejak AS dan sekutunya Israel melancarkan perang terhadap negara itu pada 28 Februari.
Sebelum ini Iran mengarahkan kapal menggunakan laluan berhampiran pantainya, namun banyak kapal memilih bahagian selatan berhampiran Oman dan ada antaranya menjadi sasaran serangan.
Tehran turut dilaporkan mahu mengawal selat itu serta mengenakan bayaran tol, langkah yang dijangka mendapat tentangan kuat Washington. – AFP