
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, meninjau bekas penempatan komuniti Rohingya di Kampung Kuala Muda, Penaga pada Jumaat bagi melihat keadaan semasa kawasan itu selepas penghuni berpindah secara sukarela.
- Lawatan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, ketenteraman awam dan keadaan persekitaran.
- Tinjauan bagi menyelaras tindakan susulan memastikan kawasan kekal selamat serta kesejahteraan penduduk terpelihara.
- Seramai 121 warga Rohingya meninggalkan penempatan secara sukarela dan bergerak ke pejabat UNHCR di Kuala Lumpur.
- Perpindahan dilaporkan akibat persaingan ekonomi dan pertambahan penghuni; penempatan sering menjadi kebimbangan berkaitan kepadatan dan isu sosial ekonomi.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi PDRM Pulau Pinang, pihak polis memaklumkan, lawatan itu memberi tumpuan kepada aspek keselamatan, ketenteraman awam dan keadaan persekitaran.
Tinjauan itu juga bagi menyelaras tindakan susulan yang diperlukan untuk memastikan kawasan berkenaan kekal selamat serta kesejahteraan penduduk setempat terus terpelihara.
Terdahulu, seramai 121 warga Rohingya meninggalkan penempatan sementara di bekas tapak tsunami Kuala Muda itu secara sukarela pada Ahad lalu, sebelum bergerak ke pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Anuar Abdul Rahman sebelum ini dilaporkan berkata, perpindahan berkenaan dilakukan secara sukarela susulan persaingan ekonomi dan pertambahan jumlah penghuni di kawasan penempatan tersebut.
Penempatan Rohingya di Kampung Kuala Muda sebelum ini sering menjadi perhatian kerana isu kepadatan penduduk dan kebimbangan masyarakat setempat terhadap aspek sosial serta ekonomi.