Latihan industri bukan ruang eksploitasi mahasiswa

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Latihan industri sering dieksploitasi: tugasan di luar skop, kerja berlebihan, tanpa bimbingan, dan kebajikan serta keselamatan pelajar diabaikan.
  • Pemantauan KPT dipuji: penyelia akademik dan industri pantau secara fizikal atau dalam talian untuk tindakan segera terhadap isu keselamatan atau hak pelajar.
  • Taklimat wajib sebelum penempatan meliputi keselamatan pekerjaan, pengurusan risiko, etika, hak pelajar, penggunaan alat perlindungan dan saluran pelaporan insiden.
  • Cadangan pembaharuan: elaun berperingkat, garis panduan skop tugasan, saluran aduan pantas, tindakan kepada organisasi yang gagal, dan pemantauan bermakna universiti.

Latihan industri merupakan komponen penting dalam sistem pendidikan tinggi negara. Melalui pengalaman bekerja di organisasi sebenar, mahasiswa berpeluang mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah, membina kemahiran insaniah, memahami budaya kerja serta meningkatkan kebolehpasaran selepas menamatkan pengajian.

Namun, matlamat murni tersebut akan terjejas sekiranya latihan industri bertukar menjadi medan eksploitasi mahasiswa.

Isu pelajar praktikal dijadikan tenaga kerja murah bukanlah perkara baharu. Ada yang diarahkan melakukan tugasan di luar skop pembelajaran, bekerja melebihi waktu yang munasabah tanpa bimbingan, malah ada yang tidak diberikan latihan yang bersesuaian dengan bidang pengajian.

Lebih membimbangkan, terdapat juga kes melibatkan keselamatan dan kebajikan pelajar yang diabaikan oleh sesetengah organisasi.

Justeru, langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh pemantauan terhadap pelajar latihan industri wajar dipuji.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd. Halim memaklumkan bahawa pelajar yang menjalani latihan industri dipantau secara berterusan oleh penyelia akademik dan penyelia industri melalui lawatan fizikal atau dalam talian serta semakan berkala.

Mekanisme tersebut membolehkan universiti mengambil tindakan segera sekiranya timbul sebarang isu yang menjejaskan keselamatan, kebajikan atau hak pelajar.

Menurut beliau lagi, sebelum ditempatkan di organisasi, pelajar diwajibkan mengikuti taklimat dan kursus persediaan latihan industri.

Taklimat itu perlu merangkumi aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pengurusan risiko, penggunaan peralatan perlindungan diri, prosedur kecemasan, hak serta tanggungjawab pelajar, etika profesional dan saluran pelaporan sekiranya berlaku insiden.

Pendekatan ini membuktikan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan mahasiswa kini diberikan perhatian yang lebih menyeluruh.

Walaupun demikian, tanggungjawab melindungi pelajar tidak seharusnya dipikul oleh KPT dan institusi pengajian tinggi semata-mata.

Organisasi yang menerima pelajar latihan industri juga perlu melihat mahasiswa sebagai aset yang sedang dibimbing, bukannya pekerja sementara yang boleh diberikan apa sahaja tugasan tanpa mengambil kira objektif pembelajaran.

Hakikatnya, latihan industri ialah proses pendidikan. Setiap tugasan yang diberikan perlu mempunyai nilai pembelajaran, disertai bimbingan daripada penyelia dan selaras dengan hasil pembelajaran program akademik.

Mahasiswa sepatutnya didedahkan kepada proses membuat keputusan, penyelesaian masalah, komunikasi profesional dan penggunaan teknologi yang relevan dengan bidang pengajian mereka.

Dalam era ekonomi digital dan kecerdasan buatan, latihan industri juga perlu berkembang seiring dengan kehendak pasaran.

Organisasi bukan sekadar menjadi tempat pelajar memenuhi syarat akademik, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pusat pembangunan bakat yang membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman dalam analisis data, automasi, transformasi digital, inovasi dan kelestarian.

Pengalaman sebegini akan meningkatkan daya saing graduan Malaysia di peringkat global.

Pada masa sama, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan mekanisme yang lebih menyeluruh bagi memastikan setiap pelajar latihan industri menerima layanan yang adil.

Antaranya ialah memperluaskan pelaksanaan elaun latihan industri secara berperingkat, memperkukuh garis panduan nasional berkaitan skop tugasan pelajar praktikal, memperkemaskan saluran aduan yang lebih pantas serta mengenakan tindakan terhadap organisasi yang gagal mematuhi piawaian kebajikan dan keselamatan pelajar.

Institusi pengajian tinggi pula perlu mempergiat lawatan pemantauan, bukan sekadar memenuhi keperluan dokumentasi akademik, tetapi memastikan pengalaman latihan industri benar-benar memberikan nilai kepada mahasiswa.

Maklum balas pelajar juga perlu dijadikan indikator utama dalam menilai kesesuaian sesebuah organisasi untuk terus menjadi rakan industri universiti.

Majikan juga harus memahami bahawa mahasiswa hari ini ialah bakal tenaga kerja yang akan memacu pembangunan negara. Pengalaman positif semasa latihan industri bukan sahaja meningkatkan keyakinan pelajar, malah membina imej organisasi sebagai majikan pilihan.

Sebaliknya, budaya eksploitasi hanya akan menjejaskan reputasi organisasi dan menghakis kepercayaan institusi pengajian tinggi terhadap rakan industri.

Akhirnya, latihan industri bukan sekadar memenuhi syarat bergraduat. Ia merupakan jambatan yang menghubungkan dunia akademik dengan dunia pekerjaan. Oleh itu, semua pihak perlu memastikan jambatan tersebut dibina atas asas integriti, pembelajaran berkualiti dan kebajikan mahasiswa.

Pelajar datang ke organisasi untuk belajar, membina kemahiran dan mempersiapkan diri sebagai profesional masa hadapan, bukannya menjadi mangsa eksploitasi.

Apabila universiti, industri dan kerajaan memainkan peranan masing-masing secara bersepadu, latihan industri akan terus menjadi platform terbaik melahirkan graduan yang kompeten, beretika dan bersedia memenuhi keperluan pasaran kerja. Itulah matlamat sebenar pendidikan tinggi negara yang perlu terus dipertahankan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Muhammad Hafizi Zamri
Pensyarah Kanan (Pengurusan Acara)
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam
E-mel: muhamm9811@uitm.edu.my


Dr. Amir Nordin Zainoddin
Pensyarah Kanan (Pengurusan)
Fakulti Pengurusan dan Perniagaan
UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.