
KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Prestasi ekonomi Malaysia dijangka terus mengukuh pada 2026 dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disemak naik antara 5.0 hingga 5.2 peratus, berbanding unjuran terdahulu 4.0 hingga 4.5 peratus.
- Pertumbuhan ekonomi dipacu eksport kukuh, khususnya sektor elektrikal dan elektronik serta industri semikonduktor berkaitan teknologi kecerdasan buatan.
- Semakan naik unjuran eksport berikutan lonjakan eksport separuh pertama dan aktiviti tempahan awal sebelum pelaksanaan dasar perdagangan baharu.
- Prospek masih terdedah kepada risiko luaran, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang boleh menjejaskan harga minyak dan rantaian bekalan.
Ia didorong prestasi ekonomi yang mengatasi jangkaan pada separuh pertama tahun ini, selain dipacu permintaan eksport yang kekal kukuh, khususnya bagi sektor elektrikal dan elektronik (E&E).
Pengarah Eksekutif Socio-Economic Research Centre (SERC), Lee Heng Guie berkata, pihaknya turut menyemak naik unjuran pertumbuhan eksport kasar kepada 25.6 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini, susulan lonjakan eksport sebanyak 27.5 peratus pada separuh pertama tahun ini.
Katanya, peningkatan tersebut dipacu permintaan global yang lebih kukuh terhadap produk E&E serta aktiviti tempahan awal (front-loading) sebelum pelaksanaan dasar perdagangan baharu di beberapa pasaran utama.
“Sebahagian besar pertumbuhan ekonomi ketika ini dipacu sektor E&E, khususnya di dalam sektor eksport. Namun, bukan semua subsektor eksport mencatat prestasi yang sama.
“Pertumbuhan itu kebanyakannya disumbangkan oleh industri semikonduktor dan E&E yang berkaitan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) termaju yang menjadi pemangkin utama,” katanya semasa sesi penerangan kepada media mengenai unjuran ekonomi.
Beliau berkata, semakan naik unjuran itu turut mengambil kira prestasi ekonomi Malaysia yang mengatasi jangkaan, apabila anggaran awal menunjukkan KDNK berkembang 5.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama.
Katanya, prestasi tersebut menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama tahun ini mencecah 5.6 peratus.
Sementara itu, prospek ekonomi negara bagaimanapun masih berdepan beberapa risiko luaran, termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan harga minyak serta rantaian bekalan global.