
KUALA LUMPUR, 31 Julai – Penyata kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2017 didapati tidak mematuhi sepenuhnya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS).
- RCI mendapati kerugian bersih sebenar RM1.4 bilion berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.
- Penggunaan kaedah Realisable Asset Value tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji kerana tidak direkodkan dalam penyata yang diaudit.
- Agihan keuntungan 2014 hingga 2017 didapati tidak mematuhi akta kerana dibuat bukan berdasarkan keuntungan sebenar.
- Semua syor RCI dilaksanakan sejak 2022; agihan kini berdasarkan penyata diaudit, meningkatkan ketelusan dan keyakinan pendeposit.
Sekali gus menyebabkan angka sebenar menunjukkan kerugian bersih sebanyak RM1.4 bilion berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut kenyataan TH, dapatan itu terkandung dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang meneliti aspek pelaporan kewangan dan pengisytiharan agihan keuntungan sebelum pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan pada 2018.
“RCI turut berpandangan bahawa penggunaan kaedah Realisable Asset Value (RAV) ketika itu tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji kerana tidak direkodkan dalam penyata kewangan yang diaudit.
“Agihan keuntungan bagi tempoh 2014 hingga 2017 juga didapati tidak mematuhi akta berkenaan kerana dibuat bukan berdasarkan keuntungan sebenar, menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, TH memaklumkan bahawa semua syor yang dikemukakan RCI telah dilaksanakan sejak 2022.
Kini, agihan keuntungan hanya diumumkan berdasarkan penyata kewangan yang telah diaudit, sekali gus memperkukuh ketelusan serta meningkatkan keyakinan pendeposit.
Tambah kenyataan itu, kadar agihan keuntungan turut menunjukkan peningkatan berterusan, daripada 3.10 peratus pada 2023 kepada 3.25 peratus pada 2024 dan seterusnya 3.50 peratus bagi 2025.
Peningkatan tersebut didorong oleh penambahbaikan dalam aspek tadbir urus, pengurusan risiko serta strategi pelaburan yang lebih berhemah.