Laporan taskforce FELDA akan siap beberapa bulan lagi – PM

Foto BERNAMA

JEMPOL, 1 Ogos – Laporan Pasukan Petugas Khas (Task Force) berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan lagi sebelum didedahkan kepada umum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendedahan laporan sebahagian usaha Kerajaan Perpaduan untuk membetulkan kelemahan dan kesilapan pentadbiran FELDA.
  • FELDA pernah menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus dan campur tangan politik.
  • Datuk Seri Anwar arahkan tujuh inisiatif FELDA dilaksanakan segera dengan laporan kemajuan bulanan bagi memastikan pelaksanaan.
  • Pasukan Petugas ditubuhkan untuk meneliti pengurusan, mengemukakan syor penambahbaikan dan menjamin kebajikan peneroka masa hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu akan diterbitkan sebaik sahaja proses penyediaannya selesai dan berharap orang ramai dapat menelitinya sebagaimana Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).

“Kita sudah bawa keluar cerita Tabung Haji. Mungkin dalam masa beberapa bulan siap laporan task force FELDA, kita keluarkan pula. Baca laporan pasal FELDA ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Grand Finale Kekal Harapan di Jeram Padang, malam tadi.

Menurut beliau, pendedahan laporan itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Perpaduan untuk memperbetulkan kelemahan dan kesilapan pentadbiran yang berlaku sebelum ini.

“Tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri ialah memperbetulkan keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan segala dasar dan inisiatif dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan, khususnya perkara melibatkan kebajikan rakyat.

Minggu lalu, Datuk Seri Anwar memaklumkan telah mengarahkan tujuh inisiatif FELDA dilaksanakan segera dan meminta laporan kemajuan setiap bulan supaya pelaksanaannya tidak tertangguh.

Beliau turut menegaskan hasrat Kerajaan MADANI untuk memperbaiki kelemahan pengurusan FELDA dan mempercepat pindaan dasar serta perundangan berkaitan organisasi itu.

Isnin lalu, beliau mendakwa FELDA pernah menanggung kerugian hampir RM10 bilion akibat salah urus dan campur tangan politik.

Susulan itu, Pasukan Petugas Khas diwujudkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan meneliti isu-isu membabitkan pengurusan dan hala tuju FELDA, selain mengemukakan syor penambahbaikan bagi memperkukuh institusi itu serta menjamin kebajikan peneroka pada masa hadapan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.