Piawaian baharu GBI perkukuh Malaysia teraju sektor bangunan hijau

Nga Kor Ming/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Julai – Kerajaan berhasrat membangunkan piawaian baharu Indeks Bangunan Hijau (GBI) yang disasarkan mendapat pengiktirafan di peringkat global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama dengan University of Cambridge untuk membangunkan piawaian GBI baharu meningkatkan keyakinan pembeli melalui pensijilan.
  • Piawaian Malaysia boleh digunakan pemaju asing untuk mendapatkan pembiayaan bank lebih kompetitif selaras aspirasi ESG.
  • Projek PRR akan dilengkapi tenaga boleh baharu, penuaian air hujan dan ciri mampan, selaras Ekonomi MADANI; gesa sokongan pemain industri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, piawaian baharu itu bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju sektor bangunan hijau dan pembangunan bandar mampan di rantau ini.

“Ketika ini, kita sedang giat bekerjasama dengan University of Cambridge untuk membangunkan piawaian baharu tersebut. Jika usaha ini berjaya, pada masa hadapan mana-mana pihak yang ingin membangunkan sesebuah bangunan boleh mendapatkan pensijilan berkenaan, sekali gus meningkatkan keyakinan pembeli.

“Malah, pemaju di negara lain yang ingin mendapatkan pembiayaan bank pada kadar yang lebih kompetitif selaras dengan aspirasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) juga boleh menggunakan piawaian Malaysia menerusi sijil GBI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa ke-25 (ARCHIDEX 2026) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Malaysia kini berada di landasan yang kukuh ke arah pembangunan mampan dengan memiliki kira-kira 500 juta kaki persegi bangunan hijau.

Semua projek Program Residensi Rakyat (PRR) yang bakal dibangunkan turut akan dilengkapi kemudahan tenaga boleh baharu, sistem penuaian air hujan serta pelbagai ciri pembangunan mampan yang lebih mesra alam.

Langkah itu selaras aspirasi Ekonomi MADANI dalam mewujudkan pembangunan perumahan lebih lestari. Sehubungan itu, beliau menggesa pemain industri serta pemaju swasta agar turut sama menyokong aspirasi ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.