
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Median upah bulanan pekerja sektor formal di Malaysia meningkat kepada RM3,027 pada Mac 2026 berbanding RM3,000 dalam tempoh sama tahun lalu.
- Bilangan pekerja formal warganegara meningkat 3.8% tahun ke tahun kepada 7.05 juta, mencerminkan pertumbuhan guna tenaga berterusan.
- Jurang pendapatan ketara: 10% teratas menerima sekurang-kurangnya RM11,500, manakala 10% terbawah memperoleh RM1,700 atau kurang.
- Peratus pekerja menerima gaji bawah RM1,700 berkurangan kepada 7.9%, susut dua mata peratus tahun ke tahun.
- Sektor perlombongan tawar median upah tertinggi; pertanian terendah. Kuala Lumpur catat median upah negeri tertinggi, Kelantan terendah.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, jumlah pekerja formal warganegara turut meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada 7.05 juta orang, mencerminkan pertumbuhan guna tenaga yang berterusan.
Bagaimanapun, Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Tahun Pertama 2026 menunjukkan jurang pendapatan yang ketara antara kumpulan pekerja berpendapatan tertinggi dan terendah.
“Sebanyak 10 peratus pekerja formal berpendapatan tertinggi menerima sekurang-kurangnya RM11,500 sebulan, iaitu lebih enam kali ganda berbanding kumpulan 10 peratus pekerja bergaji terendah yang memperoleh RM1,700 atau kurang.
“Pada masa sama, peratusan pekerja formal yang menerima gaji di bawah RM1,700 sebulan berkurangan kepada 7.9 peratus daripada keseluruhan pekerja, susut dua mata peratus berbanding Mac tahun lalu,” menurut DOSM dalam kenyataan hari ini.
Mengikut jantina, pekerja formal lelaki yang mewakili 55 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja formal menerima median upah RM3,064, sedikit lebih tinggi berbanding pekerja perempuan pada RM3,000.
Berdasarkan umur, pekerja berusia 45 hingga 49 tahun merekodkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM4,100, manakala kumpulan berusia 55 hingga 59 tahun mencatat pertumbuhan upah tahunan terpantas.
Sektor perlombongan dan pengkuarian menawarkan median upah tertinggi sebanyak RM9,678 sebulan walaupun hanya merangkumi 0.5 peratus daripada jumlah pekerja formal.
Sebaliknya, sektor pertanian merekodkan median upah terendah sebanyak RM2,327, meskipun meningkat 5.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Mengikut negeri, Kuala Lumpur kekal mencatat median upah tertinggi sebanyak RM4,527, diikuti Selangor pada RM3,445 dan Pulau Pinang RM3,064.
Kelantan pula merekodkan median upah terendah sebanyak RM1,827, diikuti Perlis RM1,855 dan Sabah RM2,082.
DOSM memaklumkan, pasaran buruh formal Malaysia secara keseluruhan kekal berdaya tahan pada suku pertama 2026, disokong pertumbuhan bilangan pekerja formal serta peningkatan median upah.