
HAVANA, 28 Julai – Cuba terus berusaha memperkukuh sistem bekalan elektriknya dengan pengoperasian Taman Solar Fotovolta Santiago Miguel Cabanas Perojo berkapasiti 21.8 megawatt puncak (MWp), sebagai sebahagian daripada strategi kerajaan memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi mengatasi kekurangan penjanaan elektrik.
- Loji mula membekalkan purata 126 MWh sehari sejak 16 Jun, menyumbang tenaga kepada Sistem Elektrik Kebangsaan.
- Projek ialah pelaburan Union Electrica dalam pelan nasional menambah 1,000 megawatt tenaga boleh diperbaharui, melibatkan syarikat tempatan.
- Loji tiada penyimpanan tenaga namun membekalkan sebahagian keperluan wilayah pada waktu siang, pembangunan dipergiatkan ekoran krisis bahan api dan sekatan.
Loji solar yang terletak di perbandaran Consolacion del Sur, wilayah Pinar del Rio itu mula membekalkan tenaga kepada Sistem Elektrik Kebangsaan sejak pertengahan Jun dan telah dilawati Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, bersama beberapa pegawai kanan kerajaan.
Ketua Pengarah Syarikat Elektrik Pinar del Rio, Pedro Perez San Jorge berkata, loji berkenaan menghasilkan purata 126 megawatt/jam (MWh) tenaga elektrik setiap hari sejak mula beroperasi pada 16 Jun.
Beliau berkata, projek itu merupakan pelaburan Kesatuan Elektrik Cuba (Union Electrica) di bawah pelan nasional untuk menambah kapasiti penjanaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,000 megawatt, dengan penglibatan beberapa syarikat tempatan.
Menurutnya, loji itu berjaya diselaraskan dengan Sistem Elektrik Kebangsaan pada 18 Jun dan kini membekalkan tenaga terutama pada waktu siang kepada wilayah Pinar del Río.
“Loji ini membekalkan tenaga terutamanya pada waktu siang untuk kegunaan di wilayah ini,” katanya.
Pedro Perez berkata, loji berkenaan tidak dilengkapi sistem penyimpanan tenaga, namun masih mampu memenuhi sebahagian keperluan bekalan elektrik wilayah itu pada waktu siang.
Taman Solar Fotovolta Santiago Miguel Cabanas Perojo merupakan loji solar ketiga dibina di Pinar del Rio dan sebahagian daripada projek nasional untuk menambah 1,000 megawatt tenaga boleh diperbaharui ke dalam sistem grid elektrik Cuba.
Kerajaan Cuba mempergiat pembangunan tenaga solar susulan krisis bekalan bahan api yang menjejaskan keupayaan negara itu menjana elektrik.
Keadaan itu bertambah buruk selepas Amerika Syarikat (AS) memperketat sekatan terhadap Cuba, termasuk mengenakan sekatan ke atas negara dan syarikat yang menjalankan perdagangan minyak dengan negara pulau itu.
Sekatan berkenaan menyukarkan Cuba mendapatkan bekalan bahan api untuk mengendalikan loji janakuasa termalnya, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan elektrik yang berpanjangan di banyak kawasan di seluruh negara. – VIORY