
GLASGOW, 28 Julai – Atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat menghadiahkan pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas menjuarai acara 79 kilogram (kg) lelaki, hari ini.
- Erry raih pingat emas sulung Sukan Komanwel, memperbaiki perak 73kg Birmingham 2022.
- Mencatat jumlah angkatan 331kg: 147kg snatch, 184kg clean and jerk; catatan clean and jerk dan jumlah memadam rekod temasya.
- Kejayaan serlahkan detik keluarga apabila Erry menyamai pencapaian bapanya Hidayat Hamidon, juara angkat berat Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Kejayaan itu menyaksikan Muhammad Erry meraih pingat emas sulung Sukan Komanwel, sekali gus memperbaiki pencapaiannya yang memenangi pingat perak dalam kategori 73kg pada edisi Birmingham 2022.
Atlet berusia 26 tahun itu mencatat jumlah angkatan 331kg, hasil 147kg dalam acara snatch dan 184kg dalam clean and jerk.
Catatan clean and jerk serta jumlah angkatan keseluruhan itu turut memadam rekod temasya.
Pingat perak dimenangi atlet India, Valluri Ajaya Babu, dengan jumlah angkatan 330kg (149kg snatch dan 181kg clean and jerk), manakala wakil England, Chris Murray, meraih gangsa selepas mencatat 325kg (148kg snatch dan 177kg clean and jerk).
Kejayaan Muhammad Erry lebih bermakna apabila beliau mengulangi pencapaian bapanya, Hidayat Hamidon, yang memenangi pingat emas angkat berat pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Pingat emas itu merupakan yang ketiga buat Malaysia di Glasgow 2026 selepas Mohamad Aniq Kasdan muncul juara kategori 60kg dan Muhamad Aznil Bidin mengungguli kategori 65kg semalam. – BERNAMA