Iran belum sedia runding dengan AS, tuntut Washington ubah pendirian

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei / Foto AFP

TEHRAN, 28 Julai – Iran menegaskan tiada rundingan sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat (AS) dan sebarang usaha memulakan semula dialog bergantung kepada perubahan sikap Washington terhadap Tehran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menolak dakwaan ia meminta rundingan dengan AS, memanggil laporan tersebut tidak tepat.
  • Diplomasi dianggap instrumen penting untuk melindungi kepentingan nasional Iran.
  • Rundingan bergantung kepada perubahan sikap Washington; AS perlu tunjuk sikap lebih bertanggungjawab.
  • AS menghentikan serangan sejak dua hari lalu, Iran juga menghentikan operasi balas; ketegangan masih berterusan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei, menolak laporan yang mendakwa Tehran telah meminta rundingan dengan AS.

“Itu tidak selaras dengan prinsip kami. Dakwaan bahawa Iran telah meminta rundingan hanyalah laporan semata-mata,” katanya pada sidang media yang dipetik agensi berita separa rasmi Mehr.

Beliau berkata, Iran sentiasa menganggap diplomasi sebagai instrumen penting untuk melindungi kepentingan negara.

“Kami tidak pernah teragak-agak menggunakan saluran diplomatik bagi mempertahankan kepentingan negara. Kami menganggap diplomasi sebagai cara untuk melindungi kepentingan nasional Iran,” katanya.

Baqaei mengakui mungkin terdapat pihak pengantara yang menyampaikan mesej antara kedua-dua negara, namun menegaskan bahawa tiada rundingan sedang berlangsung ketika ini.

Mengulas syarat untuk memulakan rundingan, beliau berkata, AS perlu terlebih dahulu menunjukkan sikap yang lebih bertanggungjawab.

Beliau turut menuduh Washington bertindak “seperti kumpulan mafia” sejak dua tahun lalu dengan mengabaikan undang-undang antarabangsa.

“Selagi tingkah laku itu berterusan, kami tidak melihat suasana yang kondusif untuk mewujudkan persekitaran yang sesuai bagi rundingan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap tentera Iran, Amir Mohammad Akraminia, pada Ahad berkata, AS telah menghentikan serangan terhadap Iran sejak dua hari lalu, manakala “operasi balas” oleh Iran juga telah dihentikan.

Laporan berita pada Sabtu pula mendakwa Presiden AS, Donald Trump, mengarahkan tentera negara itu menghentikan sebarang serangan baharu ke atas Iran, sekali gus menamatkan hampir dua minggu serangan harian.

Hubungan antara AS dan Iran terus tegang sejak beberapa minggu kebelakangan ini susulan siri serangan Washington ke atas Iran yang dibalas Tehran dengan menyasarkan kemudahan serta aset ketenteraan AS di beberapa negara di rantau Asia Barat. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.