Lelaki warga Indonesia ditahan selepas mengamuk di KLIA

Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan berkelakuan agresif di Terminal 1, KLIA susulan kelewatan penerbangannya

SEPANG, 28 Julai – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas dipercayai berkelakuan agresif, mengeluarkan kata-kata kesat dan ingkar arahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerbangan ditunda lima jam; kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam di Kaunter Transit.
  • Suspek dibawa ke Pejabat Imigresen, bertindak tidak senonoh dan ingkar arahan; ditahan polis bantuan MAHB, diserahkan kepada polis.
  • Dibawa ke Mahkamah Sepang, direman empat hari; kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 188 dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Ravi Munusamy berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam semalam di Kaunter Transit apabila suspek berusia 25 tahun itu tidak berpuas hati selepas penerbangannya ditunda selama lima jam.

Beliau berkata, suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat, ugutan dan provokasi terhadap kakitangan syarikat penerbangan yang sedang bertugas.

“Anggota kawalan keselamatan terminal yang tiba di lokasi membawa suspek ke Pejabat Imigresen Malaysia Terminal 1 bagi meredakan keadaan.

“Bagaimanapun, suspek bertindak lebih agresif, berkelakuan tidak senonoh serta ingkar arahan yang diberikan oleh kakitangan Imigresen sebelum ditahan polis bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ravi berkata, hasil siasatan mendapati suspek dijadualkan menaiki penerbangan pulang ke Indonesia pada pukul 3 petang semalam.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini dan dibenarkan direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.