Sindiket penipuan dalam talian terbesar di Johor tumpas

Datuk Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU, 28 Julai – Polis Johor menumpaskan sindiket penipuan dalam talian terbesar di negeri itu dengan penahanan 335 individu berusia antara 20 hingga 58 tahun, terdiri daripada warga China, Indonesia, Myanmar serta warga tempatan menerusi operasi di 32 premis yang dijadikan pusat operasi penipuan di sekitar Iskandar Puteri pada 15 Julai lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sindiket menggunakan 27 apartmen dan lima banglo sebagai pusat operasi untuk penipuan pelaburan kripto, penyamaran firma guaman dan love scam.
  • Ejen mencari pelanggan menerusi Telegram, WhatsApp dan TikTok; mereka dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000.
  • Polis membuka 23 kertas siasatan, siasatan mengikut Akta Imigresen dan merampas 313 komputer serta 1,557 telefon bimbit bernilai kira-kira RM1 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, sebanyak 27 apartmen dan lima banglo digunakan sindiket berkenaan bagi menjalankan kegiatan penipuan membabitkan pelaburan mata wang kripto, penyamaran sebagai firma guaman serta penipuan cinta atau love scam yang menyasarkan mangsa warga asing.

“Sindiket ini beroperasi di kawasan Tanjung Kupang dengan menjalankan kegiatan penipuan menerusi tawaran pelaburan mata wang kripto dan love scam, yang menyasarkan mangsa dari luar negara, iaitu China dan Indonesia.

“Individu yang ditahan dipercayai berperanan sebagai ejen mencari pelanggan dengan menggunakan aplikasi Telegram, WhatsApp dan TikTok. Mereka dijanjikan gaji bulanan antara RM2,500 hingga RM4,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita menerusi sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini.

Sebanyak 23 kertas siasatan dibuka membabitkan kesalahan penipuan dan jenayah terancang, manakala siasatan turut dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Polis turut merampas 313 unit komputer dan 1,557 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM1 juta. Setakat ini, seramai 194 individu telah didakwa di Mahkamah Johor Bahru, manakala dalang utama sindiket masih dikesan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.