Murid Tahun Lima semakin pulih selepas terjatuh dari bumbung sekolah

Muhammad Jasnizam Husni/ RTM

PADANG TERAP, 28 Julai- Keadaan kesihatan seorang murid Tahun Lima yang cedera selepas terjatuh dari bumbung tingkat tiga bangunan sebuah sekolah di sini, pada 7 Julai lalu, semakin menunjukkan perkembangan positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Muhammad Naufal dibenarkan pulang dan menjalani pemulihan di rumah bersama keluarga.
  • Beliau mengalami kecederaan pada kepala, tangan kiri dan beberapa anggota badan lain.
  • Kejadian berlaku semasa cuba mengambil burung di siling tingkat tiga sekolah dan mengakibatkan beliau terjatuh.
  • Siasatan awal polis mengesahkan kemalangan tanpa unsur jenayah; murid pulang lalu kembali untuk sesi KAFA.

Murid berkenaan yang berumur 11 tahun, kini dibenarkan pulang dari hospital dan menjalani proses pemulihan di rumah bersama keluarganya.

Pengerusi Permuafakatan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Daerah Padang Terap, Muhammad Jasnizam Husni berkata murid berkenaan mengalami kecederaan pada kepala, tangan kiri serta beberapa bahagian anggota badan lain.

Beliau berkata tahap pemulihan murid berkenaan menunjukkan perkembangan yang sangat baik.

“Syukur Alhamdulillah, walaupun terjatuh dari tingkat tiga bangunan (ke kawasan tanah), namun dia tidak mengalami kecederaan yang serius. Kesihatannya juga semakin bertambah baik.

“Kita doakan semoga murid ini sembuh sepenuhnya dan dapat kembali ke sekolah seperti biasa,” katanya selepas melawat serta menyampaikan sumbangan kepada murid itu di rumah keluarganya di Kampung Tandop Besar di sini pada Isnin.

Turut hadir Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Tandop Besar, Musabakoh Ismail.

Dalam kejadian pada 7 Julai lalu, murid berkenaan cedera selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah berkenaan dipercayai ketika cuba mengambil burung yang berada di atas siling.

Lokasi murid dilaporkan jatuh selepas cuba mengambil seekor burung di siling tingkat tiga bangunan sekolah/ Foto: Orang awam

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintendan Mohd Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang guru sekolah berkenaan kira-kira pukul 4.00 petang.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku akibat kemalangan dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah memaklumkan kejadian berlaku sebelum sesi Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada sebelah petang.

Menurut JPN Kedah, murid berkenaan pulang ke rumah sebelum kembali semula ke sekolah untuk mengikuti sesi KAFA.

“Sebelum kelas KAFA bermula, murid berkenaan memanjat siling seorang diri di tingkat sekolah itu sebelum terjatuh,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.