Ratusan pelarian Rohingya dipindahkan ke IPK Kuala Lumpur

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Julai– Ratusan pelarian Rohingya yang berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling sejak awal pagi, dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi dan tindakan lanjut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak menunggu dengan tenang sebelum diarahkan menaiki lori PDRM.
  • Hanya dua lori polis tiba awalnya; kapasiti tidak mencukupi, dua lori tambahan tiba untuk membawa kesemua pelarian.
  • Kumpulan dilaporkan tiba di hadapan pejabat UNHCR sekitar pukul 3 pagi, dipercayai dipindahkan dari Penaga, Pulau Pinang.

Tinjauan RTM mendapati kumpulan pelarian yang terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak itu menunggu dengan tenang sebelum diarahkan menaiki lori Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pada peringkat awal, hanya dua lori polis tiba di lokasi, namun kapasiti yang tidak mencukupi menyebabkan sebahagian daripada mereka diminta menunggu sebelum dua lagi lori tiba bagi membawa kesemua pelarian ke IPK Kuala Lumpur.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan kesemua pelarian terbabit akan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk menjalani pemeriksaan dokumentasi termasuk semakan kad UNHCR, pasport serta dokumen berkaitan.

Proses pemindahan itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk PDRM, Jabatan Imigresen serta pasukan penguat kuasa lain yang memainkan peranan penting dalam memastikan keadaan kekal terkawal sepanjang operasi berlangsung.

Difahamkan, tindakan lanjut hanya akan ditentukan selepas proses semakan dan dokumentasi selesai dijalankan oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, kumpulan pelarian berkenaan dilaporkan tiba di hadapan pejabat UNHCR sekitar pukul 3 pagi bagi mendapatkan bantuan selepas dipercayai dipindahkan dari Penaga Pulau Pinang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.