Banjir monsun di Pakistan ragut 109 nyawa, penduduk terperangkap tanpa bantuan

Keadaan banjir di Lahore / Foto AFP

ISLAMABAD, 28 Julai – Banjir akibat hujan lebat bawaan monsun terus melanda timur Pakistan, mengorbankan sekurang-kurangnya 109 orang sejak 26 Jun lalu, manakala ribuan penduduk di beberapa kampung terpaksa dipindahkan dengan bot selepas kediaman mereka ditenggelami air.

RINGKASAN BERITA AI
  • Khyber Pakhtunkhwa rekod jumlah kematian tertinggi (55), diikuti Punjab (36).
  • Lebih separuh mangsa maut akibat runtuhan rumah atau bumbung; lebih 300 dilaporkan cedera.
  • Penduduk terputus hubungan tanpa bantuan berhari-hari, tiada elektrik, air bersih dan bekalan makanan habis; ramai masih terperangkap.

Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan Pakistan (NDMA), wilayah Khyber Pakhtunkhwa merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 55 orang, diikuti Punjab dengan 36 kematian.

Lebih separuh daripada mangsa maut berpunca daripada runtuhan rumah atau bumbung akibat hujan lebat dan lebih 300 lagi dilaporkan cedera.

Di daerah Muridke, yang paling padat penduduk, bot-bot kecil yang dikendalikan sukarelawan digunakan untuk memindahkan penduduk ke kawasan selamat, namun ramai lagi masih terperangkap akibat paras air yang tinggi.

Seorang penduduk, Iqra Salman, 32 tahun, berkata, mereka masih belum menerima sebarang bantuan walaupun telah terputus hubungan selama empat hari.

“Sudah empat hari berlalu dan tiada pasukan penyelamat yang tiba. Kami tiada bekalan elektrik, air bersih dan kini bekalan makanan juga telah habis. Kami dikelilingi air banjir dari semua arah,” katanya.

Sukarelawan yang menjalankan operasi menyelamat berkata, mereka telah menggerakkan usaha memindahkan penduduk serta menyelamatkan harta benda di kira-kira 12 kampung yang terjejas.

Bagaimanapun, penduduk yang berjaya dipindahkan turut berdepan kesukaran apabila terpaksa berlindung di khemah-khemah kecil dalam cuaca panas dan lembap di kawasan berhampiran jalan raya.

Sementara itu, di negara jiran Afghanistan, banjir kilat dan hujan lebat mengorbankan 34 orang sejak 20 Julai, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana negara itu.

Di wilayah Nuristan di timur Afghanistan, banjir turut menyebabkan kira-kira 100 orang dilaporkan hilang.

Pakistan sering berdepan banjir besar ketika musim monsun yang lazimnya berlangsung dari Jun hingga September.

Pada 2022, negara itu mengalami banjir paling buruk dalam sejarah moden apabila kira-kira satu pertiga daripada wilayahnya ditenggelami air, mengorbankan lebih 1,700 orang dan menjejaskan lebih 33 juta penduduk. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.