Glasgow 2026: Skuad bola keranjang 3×3 lelaki negara mara ke suku akhir

Foto REUTERS

GLASGOW, 28 Julai – Skuad bola keranjang 3×3 lelaki negara mencipta sejarah apabila mara ke suku akhir pada penampilan sulung di Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia menewaskan Jamaica 21-15 pada aksi terakhir peringkat kumpulan.
  • Barisan pemain: Chang Zi Fueng, Chong Zhen Yang, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu.
  • Malaysia dijadual bertemu tuan rumah Scotland pada suku akhir, pemenang bakal berdepan Australia di separuh akhir.

Pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Scottish Event Campus (SEC), malam tadi, Malaysia menewaskan Jamaica 21-15.

Pasukan negara yang dibarisi Chang Zi Fueng, Chong Zhen Yang, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu mempamerkan aksi cemerlang untuk mengesahkan slot ke pusingan suku akhir.

Malaysia dijadual bertemu tuan rumah, Scotland, pada suku akhir awal pagi Rabu waktu Malaysia.

Pasukan yang berjaya ke separuh akhir akan berdepan Australia.

Satu lagi aksi suku akhir mempertemukan New Zealand dengan Singapura, dengan pemenangnya bakal menentang juara bertahan, England, di separuh akhir.

Terdahulu, Malaysia tewas tipis 19-21 kepada England selepas mencatat tiga kemenangan berturut-turut ke atas Fiji, Kenya dan Singapura pada saingan peringkat kumpulan.

Mengikut format pertandingan, juara setiap kumpulan layak secara automatik ke separuh akhir, manakala pasukan di tempat kedua dan ketiga perlu melalui saingan suku akhir.

Acara bola keranjang 3×3 mula dipertandingkan pada Sukan Komanwel Birmingham 2022, manakala Glasgow 2026 menyaksikan penampilan sulung Malaysia dalam acara 3×3 lelaki. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.