
LONDON, 27 Julai – Harvey Barnes telah mengikat masa depannya bersama Newcastle selepas menandatangani kontrak baharu jangka panjang dengan kelab Liga Perdana Inggeris itu pada Isnin.
- Newcastle berjaya meyakinkan Barnes melanjutkan kontrak walaupun masih berbaki dua tahun dalam perjanjian terdahulu.
- Beliau pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Aston Villa sebelum memilih kekal di Newcastle.
- Keputusan kekal memberi suntikan besar susulan pemergian Anthony Gordon dan Sandro Tonali pada jendela perpindahan.
- Prestasi Barnes: 16 gol musim lalu, 30 gol dalam 120 penampilan bersama Newcastle; Eddie Howe memuji konsistennya.
Barnes masih berbaki dua tahun dalam kontrak terdahulunya, namun Newcastle berjaya meyakinkan pemain antarabangsa England itu untuk melanjutkan tempohnya di Stadium St James’ Park menjelang musim baharu.
Beliau sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke Aston Villa, yang sedang mencari penyerang baharu selepas menjual Morgan Rogers kepada Chelsea.
Keputusan Barnes untuk kekal merupakan suntikan besar buat Newcastle selepas Anthony Gordon berpindah ke Barcelona dan Sandro Tonali menyertai Tottenham Hotspur pada jendela perpindahan musim panas ini.
Newcastle turut berharap dapat mengekalkan kapten pasukan, Bruno Guimaraes, yang kini menjadi sasaran Arsenal.
“Rasanya sangat gembira dapat menandatangani kontrak baharu ini lebih awal sebelum musim baharu bermula. Perjalanan saya setakat ini sangat menakjubkan dan saya gembira dapat meneruskannya.
“Apabila saya mula menyertai kelab ini, saya segera menyedari betapa istimewanya tempat ini. Namun selepas tiga tahun di sini, saya lebih menghargainya.
“Saya sukakan segala-galanya di sini – bandar ini, stadium, penyokong dan orang ramai – dan saya benar-benar gembira dapat melanjutkan tempoh bersama kelab ini,” kata Barnes.
Barnes, yang menyertai Newcastle dari Leicester pada 2023, mempamerkan prestasi cemerlang musim lalu dengan menjaringkan 16 gol dalam 57 penampilan dalam semua pertandingan.
Pemain berusia 28 tahun itu kini telah meledak 30 gol dalam 120 penampilan bersama The Magpies.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe, memuji prestasi konsisten Barnes sepanjang tiga tahun bersama kelab itu.
“Kontrak baharu Harvey memang wajar diberikan dan mencerminkan segala usaha serta kualiti yang telah ditunjukkannya sepanjang tiga tahun bersama Newcastle United.
“Harvey ialah pemain yang sentiasa menghasilkan detik-detik istimewa pada waktu-waktu penting untuk pasukan.
“Harvey memiliki pengalaman luas di peringkat tertinggi, namun kami percaya masih banyak lagi yang mampu ditampilkan olehnya,” kata Howe.