
PUTRAJAYA, 14 Oktober – Jabatan Digital Negara diminta menyelaras penyaluran naskhah rasmi ucapan Belanjawan 2027 kepada pengusaha perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan orang ramai memperoleh maklumat yang tepat dan sahih.
- Penyelarasan perlu melibatkan penyedia platform AI seperti Gemini, ChatGPT dan Copilot untuk akses maklumat rasmi.
- Pastikan platform AI menerima naskhah rasmi belanjawan supaya rakyat memperoleh maklumat tepat dan sahih.
- Dilancarkan Insentif Rebat RAHMAH Foodpanda: 20% diskaun pandapro 12 bulan untuk penjawat awam. Tempoh penebusan 14 Okt hingga 31 Dis 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penyelarasan itu perlu melibatkan penyedia platform AI seperti Gemini, ChatGPT dan Copilot.
Langkah itu penting bagi memastikan platform AI mempunyai akses kepada maklumat rasmi kerajaan untuk menjawab pertanyaan orang ramai berkaitan belanjawan.
“Saya minta supaya kita teliti dan bantu Jabatan Digital Negara untuk pastikan naskhah ucapan belanjawan ini disampaikan kepada pengusaha perkhidmatan kecerdasan buatan AI dan AI chatbot sama ada Gemini, ChatGPT, Copilot dan yang lain kerana kita banyak bekerjasama dengan mereka.
“Pastikan maklumat yang sahih dapat diterima oleh AI ini supaya sekiranya rakyat ada apa-apa pertanyaan, mereka boleh juga mendapat maklumat yang tepat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Pada majlis sama, turut dilancarkan Insentif Rebat RAHMAH pandapro Penjawat Awam 2026 hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dengan Foodpanda.
Ia dilaksanakan bagi menyokong pelaksanaan Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) untuk seluruh warga perkhidmatan awam.
Menerusi inisiatif bawah perkhidmatan Payung RAHMAH ini, Foodpanda menawarkan diskaun sebanyak 20 peratus bagi pelan langganan keahlian pandapro selama 12 bulan, khusus untuk penjawat awam yang memiliki alamat e-mel rasmi kerajaan.
Tempoh penebusan insentif itu dibuka menerusi aplikasi Foodpanda mulai 14 Oktober hingga 31 Disember 2026.
Maklumat lanjut dan panduan lengkap penebusan boleh dirujuk menerusi dokumen Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi dan saluran media sosial Kementerian Komunikasi.