F1 kembali ke Afrika selepas lebih tiga dekad

Foto AFP

PARIS, 14 Oktober – Rwanda bakal menjadi tuan rumah perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) pertama di Afrika sejak 1993 menerusi perjanjian selama 10 tahun yang diumumkan pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rwanda guna sukan untuk perbaiki imej, tarik pelancong dan yakinkan pelabur.
  • Perlumbaan akan diadakan selepas pembinaan litar khas di Bugesera selesai.
  • Tindakan itu dikritik sebagai 'sportswashing', walau pemimpin F1 dan Lewis Hamilton menyokong kepulangan kejohanan ke Afrika.

Negara Afrika Timur itu sudah beberapa tahun berusaha mendapatkan hak penganjuran perlumbaan berprestij berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan imej negara dan menarik pelaburan menerusi sukan.

Presiden Rwanda, Paul Kagame, mengumumkan secara rasmi bidaan itu ketika negara berkenaan menjadi tuan rumah perhimpunan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), badan induk sukan permotoran dunia, pada Disember 2024.

Perlumbaan F1 pertama di Rwanda akan diadakan selepas pembinaan litar khas di Bugesera, Rwanda, selesai, menurut kenyataan F1.

Presiden F1, Stefano Domenicali, menyifatkan pengumuman itu sebagai detik penting bagi sukan berkenaan kerana ia bakal menyaksikan kejohanan dunia itu berlangsung di semua benua yang mempunyai penduduk.

“Afrika sentiasa menjadi sebahagian daripada masa depan Formula Satu dan sejak awal lagi kami bertekad untuk kembali dengan cara yang tepat, bersama rakan yang sesuai, komitmen jangka panjang dan visi jelas untuk menghasilkan impak bermakna,” katanya.

Perlumbaan F1 terakhir di Afrika ialah Grand Prix Afrika Selatan ke-33 berhampiran Johannesburg pada 1993, setahun sebelum berakhirnya dasar aparteid secara rasmi menerusi pilihan raya demokratik yang melibatkan semua kaum.

Rwanda, yang masih dikaitkan dengan tragedi pembunuhan beramai-ramai pada 1994, menggunakan sukan untuk memperbaiki imej negara, menarik pelancong dan meyakinkan pelabur terhadap keupayaannya menganjurkan acara antarabangsa.

Negara itu membelanjakan dana besar untuk menaja kelab bola sepak termasuk Arsenal dan Paris Saint-Germain, selain bekerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) bagi menjadikan Rwanda hab utama liga bola keranjang Afrika.

Bagaimanapun, usaha itu turut menerima kritikan daripada pihak yang menyifatkannya sebagai “pencucian imej menerusi sukan” atau sportswashing, iaitu penggunaan acara sukan berprestij untuk mengalihkan perhatian daripada dakwaan pelanggaran hak asasi manusia.

Kagame berkata perjanjian itu menandakan kejayaan penting buat seluruh benua Afrika selepas lebih tiga dekad tidak menganjurkan perlumbaan F1.

“Perkongsian ini sudah lama tertangguh, namun ia satu kejayaan dan pencapaian penting untuk seluruh benua, khususnya peminat sukan permotoran Afrika,” katanya.
Juara dunia F1 tujuh kali, Lewis Hamilton, antara yang menyokong kepulangan kejohanan itu ke Afrika dan sebelum ini menyatakan sokongan terhadap rancangan Rwanda pada 2024.

Sementara itu, Afrika Selatan yang turut membida untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1, menegaskan peluang negara itu tidak seharusnya diketepikan.

Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie, berkata Rwanda sudah berusaha lebih lama untuk mendapatkan penganjuran itu dan wajar diberikan peluang, namun beliau tetap yakin Afrika Selatan juga akan menjadi tuan rumah perlumbaan F1 sebelum 2030. – AFP.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.